Sunday, February 13, 2011

Pemimpin Pas Tidak Senada

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Tindakan segelintir pemimpin Pas mengkritik Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang bersedia membantu pihak berkuasa membanteras maksiat pada Hari Kekasih, 14 Februari ini memperlihatkan bahawa mereka sanggup menggadai akidah kerana gilakan kuasa.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, suara-suara 'dajal kecil' itu senada dengan golongan bukan Islam termasuk sekutu Pas iaitu DAP yang turut lantang mengkritik pendirian Nasrudin.
Menurut beliau, tidak ketinggalan parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan yang turut menghentam Nasrudin malah kumpulan 'nyamuk' seperti SiS Forum Sdn. Bhd.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan siri penerangan tentang maksiat pada Hari Kekasih dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri telah diarah menjalankan operasi mencegah maksiat.
"Saranan sama disuarakan oleh Nasrudin yang menyeru supaya penerangan dan pencegahan maksiat diadakan pada hari tersebut. Bahkan beliau menyatakan Dewan Pemuda Pas sanggup membantu pihak berkuasa negeri-negeri untuk laksanakan tugas tersebut.
"Namun malangnya, ada antara kita yang menjadi kelkatu dan buta terhadap agamanya sendiri. Pendirian Nasrudin dikritik oleh segelintir pemimpin Pas sendiri, malah ada yang mengherdik kerana tindakannya dikatakan merugikan Pas dalam usaha mendapat undian bukan Islam pada pilihan raya akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk Khutbah: Al-Valantino menerusi blognya, www.zul4kulim.blogspot.com.
Jelas Zulkifli, ada juga suara sumbang yang mendakwa Nasrudin terlalu jumud dan buta politik selain meminta beliau menumpukan kepada soal politik kepartian serta menjaga kepentingan parti untuk pilihan raya akan datang.
"Begitu ghairah mereka gilakan kuasa sehingga akidah digadaikan," ujarnya.
Katanya, tahun ini sambutan Hari Kekasih jatuh sehari sebelum sambutan Maulidur Rasul pada 15 Februari ini.
"Jadi, janganlah kita benarkan maksiat mencemari sambutan memperingati kelahiran Rasulullah. Kita mesti tetap dan berpegang kepada syariat Islam walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cemuhan, celaan dan kutukan," tambahnya.

Komentar KP:

Mabruk kepada Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi kerana tidak senada dengan totok pemimpin pas dan bukan islam  . Ternyata anda memilih kepentingan agama melebihi politik  anda sendiri.Walaupun berbeza fahaman politik ,anda tetap bersama pihak kerajaan dalam membanteras maksiat daripada terus berleluasa.
Jazakumullahu Khairan Kathira

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa berhubung dengan  Hari Kekasih:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam  Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa  ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keterangan/Hujah: 
Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.
Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.
Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:


من تشبه بقوم فهو منهم     

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
                                                                                                                                             ( Riwayat Abu Daud)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:


من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
                                                                                                                                  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.