KUALA LUMPUR 11 Mac – Semua Ahli Majlis Tertinggi diberi peluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing berhubung kes salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 1998 bagi membincangkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO ketika itu.
Bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman berkata, tuduhanbahawa apa yang ditulis Tun Mahathir Mohamad dalam bukunya berjudul A Doctor In The House suatu pembohongan adalah tidak benar dan berniat jahat.
Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan itu hanyalah memanupulasi daripada apa yang berlaku ketika itu, yang kononnya beliau menjadi mangsa ketidak adilan sehingga menyebabkannya dipecat.
“Pada malam itu saya hadir sebagai Ketua Wanita UMNO, semua yang hadir diberi peluang untuk bercakap oleh Tun Mahathir. Sebelum itu, dia menceritakan apa yang berlaku termasuk salah laku Anwar dan kemudian menyerahkan kepada kami semua untuk membuat keputusan.
“Semua yang hadir pada malam itu bercakap dan memberi pendapat masing-masing, malah Anwar juga diberi peluang untuk bercakap untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan itu.
“Anwar turut diberi peluang, dia bercakap dalam keadaan marah dengan suara yang tinggi dan menuduh apa yang berlaku itu adalah konspirasi Tun Mahathir untuk menjatuhkannya,” katanya kepada UMNO-Online.
Zaharah berkata, selepas semua yang hadir diberi bercakap dan menyuarakan pendapat masing-masing, mesyuarat pada hari itu membuat keputusan memecat Anwar.
Menurutnya, keputusan yang dibuat adalah berdasarkan suara majoriti yang hadir dan bukannya Mahathir sendiri.
“Tidak benar kalau Anwar kata dia dianiaya dan tidak diberi peluang untuk bersuara dia diberi peluang untuk mempertahankan dirinya dan menafikan tuduhan terhadapnya,
“ Walaupun perkara itu sudah lama berlalu, namun saya masih ingat mengenai peristiwa itu. Ada juga di kalangan MT yang tidak bersetuju Anwar dipecat, tetapi majoriti yang hadir setuju Anwar dipecat, itu bukan keputusan Tun Mahathir tetapi keputusan semua yang hadir,” katanya.
Menurutnya, selepas keputusan itu dibuat Anwar diminta keluar daripada bilik mesyuarat, pada mulanya beliau enggan melakukannya tetapi setelah didesak oleh mereka hadir, akhirnya Anwar keluar dengan perasaan tidak puas hati.
“Sebelum keluar, Anwar sempat mengatakan apa yang berlaku malam itu adalah rancangan Tun Mahathir dan itu semua sudah dirancang untuk menjatuhkannya,” katanya. -MediaUMNO.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.