Thursday, June 9, 2011

Semboyan Gesaan Penubuhan Sayap Ulama UMNO Bergema Lagi


Kedengaran sekali lagi,semboyan penubuhan sayap Ulama UMNO sebagai salah satu entiti sayap utama dalam UMNO setaraf dengan sayap Pemuda ,Wanita ,Puteri dan Putera UMNO.Setelah PAS hilang arah perjuangannya selepas muktamar, UMNO perlu mengambil peluang ini dan digunakan sebagai satu 'advantage' untuk menarik sokongan rakyat terutamanya orang melayu untuk memilih UMNO dan BN sebagai parti pemerintah dengan menguatkan kembali barisan kepimpinan dengan meletakkan Ulama-ulama sebaris dengan sayap-sayap lain dalam UMNO yang bertujuan menasihat parti dalam hal ehwal urusan agama islam dengan lebih berkesan dan inklusif.UMNO mempunyai ramai ulama -ulama yang terdiri dari orang muda ,intelektual agama,bekas Ulama-ulama PAS dan ramai lagi.

Penubuhan sayap Ulama ini akan membuatkan ahli-ahli PAS tercabar kerana bukan mereka sahaja yang memperjuangkan islam di Malaysia selama ini,bahkan UMNO lah yang lebih dahulu memberi penerapan islam secara halus kepada generasi melayu islam di Malaysia sejak dahulu lagi .Bermula dengan usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memperkenalkan Dasar penerapan nilai-nilai islam dalam pentadbiran awam dan negara.
Rakyat akan membuat pertimbangan untuk memilih bila UMNO sedia menerima Ulama sebagai sebahagian entiti utama parti dan menolak PAS  yang sudah hanyut dalam pelukan kafir harbi dan munafik islam serta sanggup gugurkan islam dalam perjuangan.

Mari ikuti rencana tulisan kolumnis Utusan Malaysia ,Datuk Zaini Hassan mengenai gesaan ini.

DENGAN izin Allah SWT muktamar Pas yang baru berakhir baru-baru ini banyak membuka mata kita semua. Membuka mata betapa hipokritnya Pas.

Memang kita tahu Pas sememangnya hipokrit sejak dari dulu lagi. Tapi kali ini Allah menunjukkan kepada kita semua dengan lebih jelas dan terang lagi mengenai sikap mereka yang sebenar. Memang benarlah seperti kata ceramah ustaz-ustaz di masjid-masjid bahawa dunia ini sudah tua dan sudah sampai ke akhir zaman.

Dasar Pas Membangun Bersama Ulama dan Membentuk Negara Islam telah dipinggirkan bagi memastikan matlamat menghalalkan caranya tercapai. Matlamat itu ialah untuk menawan sepenuhnya negara ini secara memberi bantuan kepada DAP.
Banyak juga analisis yang ditulis mengenai hal ini. Saya juga banyak menerima surat daripada orang ramai yang meluahkan perasaan mengenai sikap Pas itu. Tidak pernah saya melalui situasi seperti ini, orang ramai menulis terlalu banyak mengenai isu Pas menggadaikan perjuangannya itu.
Namun, pada pandangan saya sebagai penulis kolum ini, perkembangan itu cukup baik kepada parti pemerintah.

Ia juga cukup baik kepada UMNO. UMNO harus menggunakan peluang yang terbuka luas itu untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu yang sayangkan Islam.
Ramai orang Melayu di luar sana, bukan sahaja kuat semangat kebangsaan mereka, tapi juga amat sayangkan perjuangan Islam.

Pas kini telah meninggalkan perjuangan yang kononnya dipegang sejak dulu, untuk bersekongkol dengan sebuah parti yang kita kenali sebagai terlalu antikan Islam.
Slogan ‘langkah mayat saya dulu’ begitu terkenal setelah Karpal Singh memberi amaran kepada Pas mengenai cadangannya mahu mewujudkan negara Islam dan melaksanakan hukum Hudud. Tapi kini, kerana terlalu beralah dan mengharapkan bantuan DAP, mereka tidak berkuasa ‘melangkah mayat’ Karpal. Karpal bagi Pas merupakan kapal yang boleh membawa mereka mencapai cita-cita politik.
Hakikatnya, UMNOlah sebenarnya lebih konsisten perjuangan Islamnya berbanding Pas. Semasa pemerintahan kerajaan pimpinan UMNO inilah syiar Islam diperkembangkan.
Dari pemakaian tudung hinggalah kepada perbankan Islam diterap dan dilaksanakan sejak tahun-tahun 1980-an semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Beliaulah yang memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam pentadbiran kerajaan yang ianya diamalkan sehingga ke hari ini.
Corak pemerintahan UMNO, jika dikaji secara halus cukup Islamik. Jika tidak, tiadalah apa yang kita kecapi hari ini.

Di zaman Rasulullah SAW, umat bukan Islam tidak dipinggirkan. Itulah juga yang dilakukan sekarang. Orang bukan Islam di Malaysia hidup aman damai, dan dapat melaksanakan aktiviti perdagangan mereka dengan begitu jayanya.
Malah di Malaysia, orang bukan Islamlah yang menguasai perekonomian serta bidang-bidang lain. Orang Islam luar pun mahu belajar daripada kita.
Kita hidup aman, damai di negara ini. Orang Pas, orang DAP, PKR semua hidup mewah di bawah pemerintahan yang ada sekarang. Jika mereka menafikannya, bermakna mereka menipu diri sendiri dan orang ramai.

UMNO kini mempunyai cukup advantage serta kelebihan hasil muktamar Pas baru-baru ini.
Matlamat Pas sudah terpesong. UMNO harus merebutnya.
Oleh itu, saya cadangkan UMNO membuka satu lagi sayapnya iaitu Sayap Ulama UMNO.
Ia bersesuaian dengan penubuhan Sekretariat Ulama Muda UMNO dikenali sebagai ILMU yang diwujudkan tahun lalu. Ia kini terletak di bawah Biro Agama sahaja. ILMU perlu dikembangkan kepada sebuah Sayap.

Kita mahu supaya sekretariat ini diangkat menjadi sebuah sayap yang mempunyai Ketua Ulama, Naib Ketua Ulama dan exco-exconya yang tersendiri supaya fungsi dakwahnya ke seluruh negara dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan mantap.
Jika Putera terbukti berjaya dalam kerja-kerja kesukarelaan globalnya, Sayap Ulama UMNO juga diharap akan menjalankan fungsi kesukarelaan dakwah secara lebih agresif.
Harus diingat ramai pemuda-pemuda Melayu kini amat cenderung kepada soal-soal keagamaan. Saya sendiri mahu melihat supaya sayap baru Ulama ini bergerak ke masjid-masjid dan surau-surau serta memperhebatkan aktiviti kesukarelaan dakwah ke seluruh negara.

Perlu diingat, kumpulan agama lain kini semakin marak pergerakan mereka ekoran kekalutan dalam Islam yang dicetuskan oleh Pas selama ini.

UMNO mulai sekarang perlu bersiap sedia menerima kemasukan ramai pengikut Pas yang akan
berhijrah beramai-ramai keluar daripada parti itu. Rata-rata pengikutnya kini kesal melihat parti mereka itu sudah hilang tuju dan matlamat setelah dikuasai oleh kumpulan bukan ulama yang cukup jumud dan taksub sikap mereka.

Saya berdoa Ustaz Nasharudin Mat Isa, seorang ulama dan bekas orang nombor 2 Pas yang disungkurkan mengikuti jejak beberapa pemimpin Pas sebelum ini berjuang dalam UMNO.
Kita tahu Ustaz Nash mempunyai jati diri yang kuat untuk melihat perpaduan umat Islam disatukan, tapi niatnya dihancurkan oleh puak-puak yang tamak dalam partinya sendiri.

Saya juga berdoa Presiden UMNO dapat mempertimbang syor penubuhan Sayap Ulama itu. Kita juga berharap usul mengenai penubuhan sayap ini akan dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang.
Allah SWT telah membuka laluannya kepada UMNO, rebutlah peluang itu.



1 comment:

  1. Saya amat bersetuju dengan cadangan 'Penubuhan Sayap Ulama UMNO'...sebab UMNO memang sedang nazak dengan kepimpinan sedia ada dimana majoritinya amat dangkal dalam hal-hal keagamaan khususnya tentang kerohanian...

    ReplyDelete

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.