SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita berhubung kenyataan Prof Dr Aziz Bari, yang menyatakan akaun Majlis Agama Islam (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak diaudit.
Baginda bertitah kenyataan pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu sebagai tidak tepat.
Baginda turut menasihatkan Aziz agar tidak membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap integriti MAIS dan Lembaga Zakat Selangor.
Titah baginda Aziz Bari perlu mendapatkan fakta yang tepat dan betul sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Beta sangat dukacita apabila dimaklumkan terdapat satu laporan yang menyatakan bahawa Prof Aziz Bari ada membuat kenyataan bahawa akaun MAIS dan LZS tidak diaudit dan bebas daripada diaudit.
“Kenyataan beliau ini adalah tidak tepat kerana Beta disembah maklum bahawa akaun MAIS dan akaun LZS telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun serta akan terus diaudit oleh Jabatan Audit negara pada tahun-tahun akan datang.
Integriti MAIS
“Beta harap Prof Aziz Bari jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di majlis perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) lain.
Selasa lalu, MAIS menjelaskan dakwaan bahawa laporan kewangan tahunan tidak perlu diaudit adalah tidak tepat.
Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata laporan kewangan tahunan MAIS disatukan telah disediakan dan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara setiap tahun dan MAIS dari 1997 hingga 2010 telah mendapat pengiktirafan sijil bersih melalui Sijil Ketua Audit Negara.-FMT
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.