Tuesday, November 29, 2011

Ulama Muda UMNO(ILMU) Kian Diterima Masyarakat dan Parti


KUALA LUMPUR, 28 Nov – Kumpulan ulama di dalam UMNO bebas bersuara dan pandangan mereka didengari masyarakat umum serta pemimpin parti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahaya berkata isu dipinggirkan tidak timbul, sekalipun tiada jawatan dalam parti.
“Adakah nak mengangkat Islam kita perlukan jawatan? Ini masalah orang agama yang nampak jawatan dan kuasa baru dikira tidak dipinggirkan. Kami dibenarkan bercakap, subhanallah,” katanya di sini.
Katanya stesen televisyen dan radio tempatan turut meminta pendapat dan pandangan Ulama Muda UMNO.
“Saya boleh katakan dalam usia sangat muda ini, alhamdulillah kami memberi impak. Mudah-mudahan kita dapat menyampaikan dakwah ini secara berterusan,” katanya.
Kata beliau seperti namanya, sekretariat itu membantu kerajaan dan UMNO menggunakan ilmu.
“Kita tidak boleh hanya atas dasar nama parti, berjuang atas emosi dan dengan jeritan. Dengan ilmu (yang disampaikan) orang (masyarakat) akan faham.
“Kita bercakap dengan fakta. Kita ada jawapan yang tuntas. Maaf cakap, ada pihak tertentu yang menggunakan agama untuk kepentingan politik,” katanya.
Beliau berkata ulama muda di dalam UMNO tidak pernah disekat, malah diminta mengutarakan pendapat secara terbuka semampu mungkin dalam pelbagai hal termasuk hudud, penggunaan kalimah Allah, murtad, seks songsang dan sebagainya.
Fathul Bari berkata kehadiran 40 ulama muda di dalam UMNO juga diterima secara amat positif oleh anggota parti.
“Alhamdullillah, kami dijemput ke merata-rata tempat untuk memberikan pandangan kami…di Perlis, Perak, Terengganu dan banyak lagi tempat termasuk Kuala Lumpur.
“Soalnya sekarang kami memerlukan akses dari negeri dan kerajaan untuk sama-sama memberi ruang kepada kami. Hatta baru-baru ini pun kami ada dijemput dalam wacana ilmu bersama Pas,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, terdapat antara 10 hingga 15 anggota sekretariat yang aktif di Kuala Lumpur, manakala yang lain berada di negeri-negeri.
Kumpulan 40 ulama muda termasuk Fathul Bari itu menyertai UMNO dalam satu majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun tahun lepas.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.