Wednesday, December 7, 2011

Guan Eng Bakal Menyelam Bersama Zahid Dalam KD Tun Razak


LANGKAWI: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menaiki kapal selam KD Tun Razak Jumaat ini bagi membuktikan bahawa dakwaan pembangkang yang kapal selam negara tidak boleh menyelam adalah tidak betul.

Ahmad Zahid berkata beliau dan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP akan menaiki kapal selam itu di pusat pameran maritim sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA '11) di Awana Porto Malai pada pukul 3 petang.

Beliau berkata ini merupakan pendekatan Kementerian Pertahanan untuk memperlihatkan aset itu yang dikatakan tidak boleh menyelam.

"Guan Eng ada telefon saya semalam untuk datang ke sini. Walaupun kapal selam itu untuk LIMA kali ini hanya membuat pertunjukan statik tetapi saya akan minta kapal selam itu menyelam untuk membawa Guan Eng," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini Rabu.

Ahmad Zahid berkata beliau turut menghantar surat jemputan kepada semua Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Negara termasuk daripada parti pembangkang untuk menaiki dan menyelam bersama kapal selam negara.

"(Selain Lim) Pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain, hanya Nurul Izzah Anwar (Anggota Parlimen Lembah Pantai) yang memberi respons tak boleh datang. Yang lain cakap je banyak tetapi tak berani menyelam (dengan kapal selam)," katanya.

Mengenai LIMA '11, Ahmad Zahid berkata sehingga kini, tujuh kontrak telah dimeterai dan beliau menjangkakan keseluruhannya 15 kontrak akan dimeterai selepas berakhirnya LIMA '11 Sabtu ini.

1 comment:

  1. nurul izzah tu la yg patut datang, kecut la tu...berengset

    ReplyDelete

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.