Selepas sekian lama berbagai-bagai pihak membuat spekulasi dalam isu Pusat Fidlot Negara (NFC) akhirnya pada petang Khamis Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap dua pemimpin PKR.
Saman yang difailkan oleh peguam terkemuka Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta itu melibatkan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Shahrizat menuntut ganti rugi am disebabkan fitnah secara lisan yang memudaratkan berjumlah RM50 juta serta ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM50 juta.
Shahrizat juga memohon perintah injunksi bagi menghalang Zuraidah dan Rafizi daripada terus membuat sebarang pernyataan atau kenyataan secara bertulis terhadapnya berkaitan NFC atau syarikat-syarikat bersekutunya.
Berdasarkan penyataan tuntutan yang difailkan, Shahrizat sebagai plaintif tidak pernah memiliki sebarang ekuiti mahupun memegang jawatan sebagai pengarah di NFC, Agro-Science Industry Sdn Bhd atau mana-mana syarikat yang bersekutu.
NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail manakala Agro-Science Industry Sdn Bhd adalah syarikat induk yang memiliki hampir kesemua saham terbitan NFC dengan satu saham 'preference' dipegang kerajaan Malaysia.
Pada 2006, Kementerian Pertanian menganugerahkan pembinaan projek Fidlot Nasional kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd dan Lamberts Agriculture Trade Sdn Bhd.
Bagaimanapun Lamberts Agriculture Trade Sdn Bhd manarik diri dan projek berkenaan hanya dianugerahkan kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd melalui NFC.
Dinyatakan juga bahawa keputusan atau isu penganugerahan projek ini tidak pernah dibawa ke kabinet dan oleh itu Shahrizat tidak menyertai atau mempengaruhi proses penganugeahan projek.
Penyataan tuntutan itu juga menyebut bahawa Shahrizat tidak mempengaruhi Kementerian Pertanian atau komiti khas untuk projek berimpak tinggi dalam proses pemilihannya.
Shahrizat juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam NFC dan juga tidak memainkan sebarang peranan di dalam proses penganugerahan projek ini kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang serta Rafizi telah dikatakan secara konsisten melancarkan satu kempen untuk menyerang dan memfitnah Shahrizat sejak November 2009 selaku Ketua Pergerakan Wanita Umno, menteri dan beliau sendiri sebagai seorang individu.
Akibat daripada pelbagai tuduhan dan fitnah, Shahrizat telah menjadi bahan cemuhan dan tohmahan orang ramai, rakyat, ahli-ahli parti serta ahli kerajaan.-19/1/2012
Bagus. Macam inilah yang rakyat mahukan bila pemimpin difitnah berterusan...ambil tindakan undang2 biar mereka tahu makna sebenar pepatah "Kerana mulut badan binasa".
ReplyDelete