LUMUT 28 Feb. - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mencabar mana-mana pemimpin pakatan pembangkang supaya mengeluarkan kenyataan terbuka sekiranya mempunyai bukti bahawa pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang digerakkannya ditaja oleh UMNO.
Hasan yang juga Presiden Jati berkata, beliau pelik dengan sikap pemimpin pembangkang terutamanya Pas yang seolah-olah rasa tergugat dengan penubuhan Jati sehingga sanggup memburuk-burukkan perjuangan pertubuhan itu.
''Saya beri masa tiga hari terutamanya kepada pemimpin-pemimpin Pas yang nampaknya sangat tidak senang dengan Jati. Sila keluarkan kenyataan di Harakah, sila tampil dengan bukti yang mengaitkan Jati ini mendapat apa-apa tajaan dari UMNO walau satu sen sekalipun.
''Kalau perjuangan Jati ini untuk tegakkan agama Islam dan bela nasib Melayu, apa masalahnya? Apa yang hendak takut sangat kalau perkara-perkara yang menyentuh soal agama dan bangsa mahu ditegakkan?
''Jadi kita minta janganlah buat tuduhan tanpa bukti. Saya juga hendak tanya, kalau asas perjuangan Jati iaitu IMR (Islam, Melayu dan institusi Raja) dah hampir mirip dengan perjuangan UMNO, apa masalahnya?," katanya ketika berucap pada majlis ceramah di Stadium Perbandaran Manjung di sini semalam.
Hujan lebat hampir tiga jam sejak pukul 8.30 tidak menghalang kira-kira 2,000 hadirin terus berada di ruang tempat duduk serta pekarangan stadium walaupun terpaksa berpayung malah ada yang basah kuyup.
Hasan yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, beliau juga hairan dengan sikap pemimpin Pas yang bermati-matian memburuk-burukkan Jati sedangkan pertubuhan itu berjuang untuk menegakkan kedaulatan Islam dan membela nasib orang Melayu serta institusi Raja.
''Sebelum ini, saya percaya semua ini boleh diperjuangkan dalam Pas tetapi jika parti sudah diperkudakan oleh DAP sehingga asas-asas perjuangan diketepikan dan dikesampingkan, kenapa saya perlu duduk diam?
''Dan sekarang, platform Jati ini saya hendak jadikan asas kepada semua perjuangan ini. Kalau mereka sudah tidak mampu hendak lakukan semua ini, kenapa puak-puak parasit Pas ini begitu marah?," katanya.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.