Thursday, March 8, 2012

Alahai Zaid Ibrahim,Lagak Politiknya Kini Sudah Ibarat Sesumpah Tua !!


zaid_ibrahim513
Dari segi rekod, rasanya tidak ada yang boleh lawan hebatnya politik Datuk Zaid Ibrahim. Beliau baru masuk UMNO tahun 2000, dan jadi ketua UMNO bahagian Kota Bharu setahun kemudian.
Pada tahun 2004 jadi Ahli Parlimen BN untuk kawasan Kota Bharu. 
 
Tidak bertanding pada pilihanraya umum Mac tahun 2008, tapi dilantik oleh bekas PM Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai senator dan menteri jaga undang-undang.
Sekejap saja, sebelum letak jawatan 'atas prinsip' pada bulan September tahun itu kerana tidak setuju dengan penahanan beberapa orang dibawah ISA.
 
Bekas Presiden Persatuan Peguam Muslim ini yang terkenal kerana merupakan tauke firma peguam terbesar di negara ini kemudian masuk PKR pada Jun 2009.
Pada peringkat awal beliau ditatang bagai wira baru PKR...dan dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan...seterusnya Ketua PKR Wilayah Persekutuan.
Kemudiannya April 2010 dipilih sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor, tapi kalah.
 
Pada Oktober 2010 dari imejnya bagai wira dalam PKR telah berubah jadi 'lawan tauke' bila umum nak berentap dengan anak emas Datuk Anwar Ibrahim yakni Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.
Kemudianya pada 8 November bila jumlah pencalonan Azmin jauh melebihinya, Zaid tiba-tiba umum tarik diri bertanding dan juga umum letak semua jawatan dalam parti.
Kalau selak balik semua orang tahu bagaimana beliau turut memprotes dakwa macam-macam tentang sistem pemilihan.
Zaid mendakwa, sepanjang pemilihan PKR, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.
“Saya mengambil keputusan ini kerana tidak ada usaha oleh kepimpinan parti untuk menangani manipulasi dan amalan tidak adil dalam pemilihan itu meskipun ia telah berulang-kali ditimbulkan,” katanya.
Pada 14 November beliau umum keluar parti dan kemudiannya pada pertengahan Disember tahun itu umum ambil alih parti kecil AKIM, yang kemudiannya ditukar nama jadi parti KITA.
 
Semuanya dalam masa 12 tahun. 
zaidxx513
 
Bukan itu saja malah rekod juga menunjukkan Zaid boleh berubah  pendirian.
 
Contohnya yang ketara ketika heboh pasal geng Datuk Trio tayang video skandal seks yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang awal bersuara kata ia menyerupai Ketua Pembangkang itu.
 
Dia bukan saja kata, ditulisnya dalam blog peribadi dan dikutip oleh semua media, beliau siap jawab pasal perut boroi dan lain-lain.

Namun baru-baru ini beliau nampak berubah nada 'baik-baik' pula pada Anwar pula.
Malah beliau mengakui silap nak bertanding dengan Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
 
Apapun kes parti KITA dikira sudah masuk bab melucukan.
Baru-baru ini tiba-tiba beliau umum hendak bubar parti yang baru dipimpinnya.Sebelum itu Zaid juga kata KITA tidak akan bertanding pilihanraya.
 
“Dalam usaha mengekalkan solidariti dalam pembangkang, KITA tidak akan meletakkan calon,”katanya dalam kenyataan pada 6 Disember 2011.
 
Hari ini Rabu 7 Mac 2012 dalam sidang akhbar di rumahnya di Tropicana dekat Petaling Jaya , Zaid umum tak jadi bubar KITA dan hendak  bertanding dalam pilihanraya umum akan datang di Kota Bharu.
 
Beliau juga tidak menolak KITA akan bertanding di beberapa kawasan DUN dan Parlimen lagi dalam pilihanraya akan datang.
Perubahan ini tiba-tiba saja selepas timbul keributan bila ada sebilangan pemimpin negeri KITA membantah langkahnya hendak membubarkan parti itu dan mahu beliau sendiri meninggalkan parti itu.
 
Pendirian Zaid yang berubah mengikut situasi ini dikatakan menyulitkan penyokong-penyokongnya.
 
Bekas orang kanannya yang kemudian melawan beliau, Zamil Ibrahim, dakwa dalam satu kenyataan media petang Rabu Zaid semasa menerajui KITA dalam masa yang singkat hanya memikirkan tentang diri sendiri.
 
Zamil yang sebelum ini Ketua parti KITA negeri Kedah mendakwa beliau dipilih oleh ahli-ahli parti itu dalam satu mesyuarat khas di Kota Bharu pada 25 Febuari sebagai pemimpin baru parti tersebut menggantikan Zaid.
 
Zaid sebaliknya mempertikaikannya dan kes tersebut kini disiasat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
 
Ada yang bertanya apakah Zaid sudah ' ada kira-kira ' dengan PAS hingga mendorongnya membuat pengumuman hendak bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu.
Kerusi itu kini disandang oleh Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dari PAS.
Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ada berkata , setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan sebarang perbincangan sedang diadakan bersama Zaid sama ada di peringkat Pusat mahukan negeri.
 
“Kita tidak dapat maklumat sebarang perbincangan dibuat, namun bagi saya agak mustahil (untuk bertanding atas tiket PAS) kerana kita tidak menerima cara dia berpolitik, lompat sana-sani,” kata Nik Amar dipetik dari Sinar Harian.
 
Pening...memang pening melihat gelagat Zaid yang dianggap kejap itu dan kejap ini khususnya dalam bab parti KITA dan soal nak bertanding.
Ada yang menilai dari perkembangan semua ini Zaid nampak seperti orang yang langsung tidak tetap pendirian.  
   
Seorang penganalisis politik Norizan Sharif menyindir di laman twitternya.Tulisnya “Sewaktu dalam UMNO, PKR Zaid Ibrahim dilihat sebagai pemimpin ada idealisme, prihatin rakyat, berubah sikap apabila jadi Presiden Parti SAYA.” 
 
Kalau mengikut ding dongnya akhir-akhir ini,Zaid tidak boleh marah jika ada orang yang pandangnya dengan penuh tandatanya...
KITA atau SAYA, sama-sama kita tunggu, apa ‘game’ Zaid selepas ini.-7/3/2012- OLEH HELME HANAFI(Agenda Daily)

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.