"Saya mendapati tuduhan yang dibuat sehingga memerlukan sidang akhbar khas oleh Datuk Mahfuz (semalam) adalah berniat jahat, berunsur fitnah, percubaan memburukkan imej saya di mata rakyat, mencemarkan kredibiliti saya sebagai seorang ahli politik, pakar runding profesional, pakar motivasi dan peneraju Jati.
"Saya telah menyerahkan perkara ini kepada peguam saya untuk mengambil tindakan munasabah, satu tindakan rasmi akan dikeluarkan kemudian," katanya lagi.
Menurutnya, beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana perundingan dengan KBS untuk membincangkan program latihan seperti didakwa Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Beliau juga tidak pernah melantik mana-mana wakil bagi pihaknya untuk tujuan berkenaan, malah Jati tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk program latihan disebutkan.
“Tuduhan sedemikian sangat berat kerana ia menjejaskan kredibiliti saya sebagai Presiden Jati, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais), pakar runding pengurusan dan latihan serta pakar motivasi berwibawa.
“Ia menyebabkan anggota keluarga terdekat saya menanggung malu akibat tuduhan yang sama sekali tidak berasas itu. Menjadikan ahli-ahli Jati yang baru sahaja ditubuhkan mempersoalkan kredibiliti saya untuk memimpin mereka,” katanya.
Hasan berkata, beliau menyerahkan perkara ini kepada peguamnya untuk mengambil tindakan munasabah dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan kemudian untuk menentukan jumlah saman terhadap Mahfuz.
“Jumlahnya saya serahkan kepada peguam saya, dia kena tengok siapa yang menuduh dan siapa dituduh. Saya pemimpin masyarakat, saya pernah menjadi Exco, (kini) Adun, Ahli Parlimen, pakar motivasi, saya seorang profesional, saya mempunyai keluarga, masyarakat, saya pimpin Jati dan berbagai-bagai kelompok masyarakat.
“Yang itu perlu diambil kira dalam menentukan jumlah sebenar yang sesuai untuk saya saman Datuk Mahfuz Omar. Saya menjangkakan jumlah lebih sedikit RM50 juta,” katanya.
Beliau berkata, tidak menjadi satu kesalahan dari segi perundangan dan moral sekiranya NGO seperti Jati menerima sumbangan atau tajaan daripada mana-mana pihak demi memartabatkan agama Islam, bangsa Melayu dan institusi raja.
Katanya, Jati yang tidak mempunyai peruntukan dari mana-mana badan bersedia menerima sumbangan dan tajaan kerana Jati berkhidmat demi kebaikan rakyat namun tidak pernah memaksa mana-mana pihak memberikan sumbangan.
“Dari segi perundangan dan moralnya, apa salahnya NGO seperti Jati (menerima tajaan). Orang hendak menyumbang untuk memartabatkan Islam dan mereka tidak mahu nama mereka diwar-warkan dan hanya mahu menjadi ‘anonymous’. Ada sumbang untuk martabatkan Melayu, ada untuk mendaulatkan institusi raja.
“Untuk perkara tersebut, saya tidak nampak apa masalahnya. Masalahnya ialah hasad dengki, khianat, tidak boleh tengok orang senang, ramai yang sertai Jati, Pas tidak mampu melakukan seperti Jati,” katanya.-Sinar Harian