Monday, May 7, 2012

Isu Rumah Kos Rendah : Penipuan Paling Hebat Guan Eng Kepada Rakyat P.Pinang



PULAU PINANG 6 Mei - Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa memberi maklumat salah berhubung projek pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah di negeri ini. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, maklumat salah yang disiarkan dalam akhbar terbitan kerajaan negeri, Buletin Mutiara bertarikh 1 hingga 15 April itu dikhuatiri akan mengelirukan rakyat negeri ini.

 “Dalam ruangan semasa pada muka surat empat, akhbar berkenaan menyatakan sebanyak 11,596 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah telah dibina kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejak 2008. “Kenyataan tersebut merupakan satu penipuan yang besar kerana ia tidak dibuktikan dengan fakta-fakta sehingga hari ini seperti yang dituntut oleh Pemuda UMNO negeri selama ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

 Menurut Shaik Hussein, laporan akhbar berkenaan juga bercanggah dengan kenyataan akhbar Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada bulan lalu iaitu kerajaan hanya membina sebanyak 1,194 unit rumah kos rendah dan 2,227 kos sederhana manakala pihak swasta pula telah membina 2,612 rumah kos rendah dan 5,563 rumah kos sederhana rendah.

 “Kenyataan bahawa kerajaan negeri telah membina 11,596 rumah kos rendah dan sederhana rendah melalui PDC adalah penipuan paling hebat DAP terhadap rakyat Pulau Pinang. “Guan Eng perlu bertanggungjawab, tetapi saya yakin DAP akan terus memutar belitkan fakta yang dikemukakan oleh mereka sendiri apabila perkara tersebut didedahkan," katanya.

 Menurutnya, Guan Eng perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan menerbitkan dengan terperinci perkara-perkara mengenai pembinaan rumah kos rendah dan sederhana.

 “Antara perkara yang perlu rakyat tahu ialah pemaju yang membina rumah kos rendah dan sederhana tersebut. “Rakyat juga perlu tahu jika syarikat swasta yang terpilih, siapakah syarikat swasta itu," katanya.

 Menurutnya, perkara lain yang perlu diberitahu adalah lokasi rumah tersebut, bilangan setiap pembangunan, nombor kelulusan serta tarikh pembinaan dimulakan dan tarikh sijil layak menduduki (CF) dikeluarkan.

 “Jika kerajaan DAP Pulau Pinang tidak dapat mengeluarkan semua fakta berikut dengan segera dalam semua akhbar tempatan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, rakyat negeri ini perlu sedar bahawa mereka telah ditipu.

 “Laungan bahawa mereka telah memperjuangkan nasib orang miskin selama ini adalah gimik pilihan raya sahaja,’’ katanya.

 Menurut Shaik Hussein, apa yang disiarkan dalam akhbar itu juga jelas membuktikan kerajaan negeri mengamalkan dasar pecah dan perintah dengan membuang orang miskin pelbagai bangsa ke tanah besar, manakala bahagian pulau pula dikhaskan untuk orang kaya.-Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.