\
Sebagai muhasabah bersama, janganlah kerana undi dan kemenangan, kita bercakap dan mengeluarkan kenyataan sesuka hati.
Ingat pesanan Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa memberikan jaminan kepada ku untuk menjaga apa yang berada antara dua tulang pahanya (kemaluannya) dan menjaga sesuatu berada antara dua tulang rahangnya (mulutnya), aku beri jaminan syurga ALLAH SWT.” (Riwayat Bukhari)
Dimaksudkan antara dua tulang rahang ialah mulut, yakni menjaga lisan dan ucapan kita. Berkaitan penjagaan lisan, dalam kunjungannya ke ibu kota barubaru ini Mufti Masjidil Haram, Professor Dr Sulaiman As- Saloomi menyebut: “Engkau adalah pemilik perkataan sebelum perkataan itu dikeluarkan.” Maksudnya sekiranya perkataan itu dikeluarkan, ia bukan lagi menjadi milik kita. Maka selama mana ia menjadi milik kita, susun dan aturkanlah agar perkataan diungkapkan itu berakhlak, beretika, sesuai prinsip dan kehendak Islam. Ia tidak jauh maknanya dengan pepatah Melayu , “terlajak perahu boleh diundurkan, terlajak kata buruk padahnya.”
Maklumat disampaikan dalam akhbar, ceramah, mahupun Internet dan hadis perlu sahih, perkataan dikeluarkan mesti berfakta. Nabi SAW bersabda, maksudnya; “Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan setiap perkara yang dia dengar.” (Riwayat Imam Muslim).
Elak tuduhan tanpa asas, provokasi, persepsi dan andaian. Begitulah syaitan mengelirukan Adam AS seperti ALLAH SWT sebutkan dalam al-Quran, maksudnya: “Maka syaitan menimbulkan waswas kepada keduanya (Adam dan Hawa) agar mereka berdua didedahkan kehormatan mereka yang telah ALLAH tutup dan syaitan berkata: Tuhan kamu tidak melarang mu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga).” (Surah Al-A’raf : 20).
Syaitan berjaya membentuk persepsi palsu pada Adam dan Hawa, bahawasanya jika mereka tidak mendekati pohon itu maka mereka tidak menjadi malaikat dan tidak kekal dalam syurga. Bahkan syaitan susuli dengan perkataan meyakinkan disebut dalam ayat, maksudnya: “Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya aku hanya memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Surah Al-A’raf : 21) “Maka syaitan memujuk keduanya dengan jalan salah (tipu daya).” (Surah Al-A’raf, 7: 22).
Sehingga Adam dan Hawa akhirnya tertipu. Inilah cara dan kaedah syaitan, maka jangan gunakan budaya syaitan dalam usaha mendekatkan masyarakat dan dalam usaha meraih sokongan masyarakat. Budaya menipu daya, bersumpah, mengatakan kumpulan masing-masing paling benar dan selainnya semua salah, itu budaya syaitan.
Melainkan jika ada bukti. Justeru, perkara pertama perlu dikoreksi ialah, apakah niat ikhlas kerana ALLAH? Kemudian lihat kepada lisan dan perkataan diucapkan, pastikan ia benar. Bagi menulis di Internet, berhati-hatilah dengan penulisan dan jauhi pembohongan, membuka keaiban dan perkara bertentangan dengan akhlak.
Sesungguhnya ALLAH mengangkat dan menjatuhkan sesiapa Dia kehendaki. Manusia hanyalah berusaha, yang menentukan adalah ALLAH. Firman ALLAH, maksudnya: “Katakanlah: Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki.
Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali ‘Imran : 26).
Di tangan ALLAH-lah segala kebaikan, jangan merasakan diri membuat perubahan, sebaliknya ALLAH menetapkan dan menentukan, cuma Dia memberi peluang untuk memilih, mengubah dan berubah.
Ust Fathul Bari Mat Jahaya
Pengerusi Jawatankuasa Sekretariat Ulama Muda UMNO
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.