SHAH ALAM - Cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang mahu majlis ulama Umno diwujudkan semula, mendapat reaksi amat positif daripada pimpinan pusat.
Cadangan yang sudah diusulkan sejak dua tahun lalu itu akhirnya mendapat perhatian selepas Fathul Bari mengutarakannya pada debat anjuran Sinar Harian, 'PRU13: Orang muda pilih siapa?' pada Khamis minggu lalu. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau amat bersetuju jika Majlis Ulama atau Lembaga Penasihat yang terdiri daripada kalangan ulama ditubuhkan bagi membolehkan parti merujuk dasar dan keputusan-keputusan agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Menurutnya, anggota majlis itu nanti mestilah terdiri daripada kalangan yang diakui mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam dan berpengetahuan luas.
"Kalau sayap (majlis ulama), ia akan menjadi seperti sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, ia juga mesti mempunyai keanggotaan di semua peringkat majlis kerja tertinggi, bahagian dan cawangan. Ia mesti melalui proses pemilihan dan kempen yang sama.
"Saya bimbang akan berlaku politiking di pelbagai peringkat yang boleh mendatangkan kesan tidak semestinya baik kerana ia melibatkan agama. Misalnya di peringkat cawangan dan bahagian siapakah layak dipanggil ulama dan boleh bertanding untuk memegang kepimpinan sayap berkenaan.
Bagi saya keilmuan seseorang tidak boleh ditentukan oleh kuasa majoriti," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sebelum ini, beberapa pemimpin pusat Umno menyokong penubuhan Majlis Ulama ini, antaranya, Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau bersetuju usul ini dibawa dan dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan datang.
Jika kita semua setuju, barulah memikirkan bentuk struktur dan organisasinya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.