[Amalan-amalan sunnah pada malam dan hari raya umat Islam - Aidil Fitri dan Aidil Adha.]
1. Menghidupkan malam raya dengan melakukan ibadah.
Diriwayatkan oleh Abu Umamah ra: "Sesiapa yang mendirikan 2 malam raya (dengan melaksanakan ibadah) dalam keadaan mengharapkan balasan kerana Allah, maka hatinya tidak akan mati pada hari matinya hati-hati manusia." ~ Riwayat Ibn Majah rahimahullah.
2. Mandi.
Bermula sunnahnya pada malam hari raya hingga akhir tengahari hari raya. Waktu yang paling afdhal untuk mandi ialah selepas terbit fajr.
Daripada Ibn Abbas ra: "Rasulullah صلى الله عليه وسلم mandi pada hari raya Aidil Fitri dan hari raya Aidil Adha." ~Riwayat Ibn Majah rahimahullah.
3. Membersihkan diri, berwangi-wangian, berlawa atau berhias, memakai pakaian yang paling elok. Memilih pakaian berwarna putih adalah digalakkan.
4. Makan di hari raya. Hari raya Aidil Fitri disunnahkan makan "SEBELUM" keluar menunaikan solat raya.
Disunnahkan makan buah tamar/kurma dalam bilangan yang ganjil. Daripada Anas ra: "Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم tidak akan beredar dari rumahnya pada hari raya Aidil Fitri sehingga Baginda صلى الله عليه وسلم makan buar tamar terlebih dahulu. Dan Baginda صلى الله عليه وسلم memakannya dalam bilangan yang ganjil." ~Riwayat Al-Bukhari rahimahullah.
Manakala pada hari raya Aidil Adha pula, disunnahkan makan "SELEPAS" menunaikan solat hari raya.
5. Keluar awal (berpagi-pagi) ke masjid atau surau untuk menunaikan solat raya. Adapun jika dia seorang imam disunnahkan datang ketika sudah masuk waktu untuk solat.
6. Berjalan kaki keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan melalui jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang darinya.
Daripada Jabir ra: "Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم (apabila keluar untuk menunaikan solat) pada hari raya, Baginda صلى الله عليه وسلم akan menggunakan jalan yang berlainan." ~Riwayat Al-Bukhari rahimahullah.
7. Mendirikan solat di dalam masjid kerana ia (dalam masjid) itu lebih mulia dan lebih bersih. Namun dikecualikan jika ia sempit, ketika itu berada di dalam masjid tidak digalakkan lagi. Lebih baik solat di luar/di padang sahaja.
8. Segera menunaikan solat hari raya Aidil Adha dan lewatkan solat hari raya Aidil Fitri kerana disunatkan bagi seseorang itu mengeluarkan zakat fitrahnya sebelum solat didirikan.
Daripada Abu Huwarith: "Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menulis kepada Amr bin Hazmin dan ketika itu Amr berada di Najran. Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: (Segera dirikan solat Aidil Adha dan lambatkan solat Aidil Fitri)." ~Riwayat Al-Baihaqi rahimahullah.
اللهم صل على سيدنا وحبيبنا وشفيعنا ومولانا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تقبل الله منا ومنكم كل عام وأنتم بخير
Diterjemahkan dari kitab: 'Fiqh Al-I'badaat a'la Al-Mazhab As-Syaafie'. Ditulis oleh Al-Haajjah Ad-Durriyyah Al-I'z. Cetakan pertama pada tahun 1989, Dimasyq. Mukasurat: 223 - 224. Diterjemah pada Selasa 9 Zulhijjah 1431 bersamaan 16 November 2010 di Sirajul Munir.
P/S: Jika ada kesilapan dalam terjemahan saya mohon maklumkan pada saya. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah swt dan segala yang buruk itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Semoga ia memberi manfaat amin ya Rabbal a'lamiin.
Sumber artikel : Nota Facebook Sharifah Fatimah Nur'asyikin Al -Yahya
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.