Rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang mereka kecapi kerana di negara tertentu, rakyatnya hanya mampu mengecapi keamanan dan kemakmuran dalam mimpi, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Berkongsi pengalamannya ketika menjejakkan kaki ke Semenanjung Gaza bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, beliau berkata golongan ibu di sana tidak pernah dapat memastikan anak-anak mereka yang pergi ke sekolah, akan pulang dengan selamat ke rumah.
“Saya dimaklumkan keadaan di sana, apabila anak hendak ke sekolah, ibu-ibu akan cium anak, memeluk anak dengan erat sehingga menangis, kenapa begitu?“Kerana mereka tidak pasti anak mereka akan pulang ke pangkuan,” katanya.
Beliau berkata rakyat di negara ini seharusnya bersyukur dengan apa yang dikecapi dan melihat kesengsaraan rakyat Palestin sebagai tanggungjawab bersama membantu mereka.
“Di sana anak-anak membesar dengan makan tak cukup, hospital tidak selesa, jalan raya berlubang, bangunan sekolah tidak selesa. “Mereka tidak pernah boleh memilih, tidak boleh memilih apa yang hendak dimakan, tidak boleh memilih sekolah.
Di negara kita, anak-anak sampai kena paksa makan,” katanya. Beliau berkata apa saja kerumitan dan kesulitan yang dihadapi rakyat di negara ini tidaklah seberat yang dihadapi rakyat Palestin.
“Di sini, kalau bas atau teksi lambat pun kita dah marah, di sana (Palestin), bas dan teksi tak ada pun,” katanya. Beliau berkata rakyat perlu rasional dan tidak beremosi dalam memilih kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 nanti dan tidak mudah terpedaya dengan agenda pihak tertentu yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat hidup di negara Malaysia yang aman ini.
“Di sana (Palestin), hanya keamanan di fikiran mereka, di negara kita, janganlah hanya fitnah di fikiran kita,” katanya.
Mengenai pilihan raya umum, Rosmah berkata sekalipun beliau insan paling rapat dengan Perdana Menteri namun beliau tidak pernah dimaklumkan berkenaan tarikh pilihan raya itu.
Secara berseloroh, Rosmah berkata: “Masa tidur pun (Perdana Menteri) tak cakap tarikh pilihan raya, saya pun tak tahu bila pilihan raya, saya ingatkan PM akan cakap-cakap masa tidur, tapi tak juga,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.