KUALA LUMPUR - Polis hari ini membuka kertas siasatan berhubung pelanggaran tiga syarat Himpunan Kebangkitan Rakyat, anjuran Pakatan Rakyat, yang berlangsung di Stadium Merdeka, di sini semalam.
Dipetik Bernama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis akan menjalankan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta memanggil beberapa individu.
Melalui rakaman CCTV, polis ada bukti penganjur melanggar syarat yang ditetapkan, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini. Tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang.
Syarat terbabit adalah antara 27 yang dipersetujui penganjur dan polis, mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, rakaman CCTV antara lain menunjukkan ada ibu bapa membawa anak-anak kecil ke perhimpunan itu yang dianggar polis disertai 45,000 orang.
Penganjur mendakwa lebih 100,000 orang menyertai perhimpunan semalam. Sementara itu, pemilik stadium, Merdeka Heritage Trust ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung keadaan stadium selepas perhimpuan semalam tidak lama lagi.
Merdeka Heritage Trust merupakan anak syarikat Permodalan Nasional Berhad.-SH
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.