Tuesday, January 15, 2013

Ustaz Fathul Bari : DAP Perlu Hormati Umat Islam


KUANTAN – DAP yang memperjuangkan demokrasi, seharusnya melihat majoriti umat Islam dan menghormati sensitiviti sebelum mendesak kerajaan membenarkan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu.

 Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, DAP juga perlu merujuk kembali berkaitan hal ehwal agama yang dikuasai Raja-raja Melayu terutama Yang di-Pertuan Agong.

 “Tindakannya yang membentangkan cadangan dan pendapat itu sama ada kepada Majlis Raja-raja atau Yang di-Pertuan Agong seolah-olah tidak menghormati dan membelakangkan ketua agama. “Mereka tidak hormat institusi raja dan meletakkan keputusan dan melakukan gesaan serta desakan ke atas umat Islam dalam negara ini,” katanya selepas majlis penjelasan tentang kalimah ALLAH di Tanah Putih Baru, kelmarin.

 Menurutnya, dengan penggunaan Kalimah ALLAH dalam Bible, akan beri kesan kepada umat Islam. “Saya lihat ada agenda pluralisme yang membawa kepada kesamarataan apabila kalimah ALLAH turut diguna pakai terutama penganut Kristian.

 “Tidak terhenti di situ sahaja, kalimah ALLAH juga akan menjadi perkataan yang dibudayakan secara amnya,” katanya. Fathul Bari berkata, tahap pendidikan dan kefahaman orang Islam di negara ini masih lagi tidak boleh disamakan dengan tahap kefahaman masyarakat di Timur Tengah. 

“Di negara ini, kita bimbang jika dibenarkan penggunaan kalimah ALLAH akan menyebabkan pengaruh pemikiran pluralisme dan masyarakat keliru,” katanya. Katanya, walaupun yang membangkitkan isu itu merupakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, tetapi sewajarnya umat Islam perlu hormat fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

 “Tidak kira daripada parti mana, jika kita beri penghormatan akan membawa kepada perpaduan kaum Muslimin," katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.