KUALA LUMPUR 16 Jan. – Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) bakal menganjurkan Ijtimak Ulama Pondok bagi mengumpul para ulama, tok guru, tok mudir, warga pondok dan cendekiawan seluruh negara untuk berbincang mengenai arah tuju dan masa depan institusi pondok di Malaysia.
Penasihat Kehormatnya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, beberapa tokoh agama dan akademik akan dijemput menyampaikan kertas kerja pada ijtimak tersebut yang dijangka diadakan pada suku akhir tahun ini.
”Ijtimak ulama ini adalah langkah pertama kita untuk duduk bersama dengan guru-guru dan pemimpin-pemimpin pondok bagi mencari kata sepakat, walaupun ada dalam kalangan mereka ini yang mempunyai pandangan berbeza dalam politik.
”Kita di yayasan adalah zon selamat, isu-isu agama akan dibincangkan dalam konteks agama, bukan mengikut pendirian politik. Jadi kita mahu mereka semua bersatu,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan sumbangan 23 kotak minuman dan 15,000 naskhah majalah kepada Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) di sini hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pengurusan Korporat Berita Publishing Sdn. Bhd. (BPSB), Zuraini Kamaruzzaman dan Pengarah MMP Communication Sdn. Bhd., Khairuddin Mansoor.
Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah YPP1M, Juhaidi Yean Abdullah. Menurut Mashitah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, selain itu, pihaknya juga akan menyediakan kertas kerja bagi mendapatkan biasiswa dan penempatan di universiti kepada pelajar-pelajar pondok.
”Ini lanjutan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap penaung YPP1M ketika pelancaran yayasan ini pada November tahun lalu,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata beliau, YPP1M turut bercadang untuk bekerjasama dengan stesen televisyen tempatan untuk menghasilkan rancangan televisyen berbentuk ilmu secara bersiri.
”Usaha ini bagi meluaskan pengetahuan agama khususnya daripada kitab-kitab lama dan teks muktabar yang diguna dalam pengajian pondok serta mengenengahkan kewibawaan ulama serta guru pondok,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menyeru agar lebih banyak syarikat-syarikat korporat atau individu-individu tampil memberi sumbangan dalam sebarang bentuk kepada YPP1M untuk disalurkan kepada pondok-pondok di seluruh negara.-Blog YP1M
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.