Wednesday, March 27, 2013

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan Gesa Nik Aziz Berundur


Antarapos.com - Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Wan Ubaidah Omar secara peribadi berpendapat sudah tiba masanya untuk Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berehat dari politik sekali gus berhenti daripada terus bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan datang.

 Wan Ubaidah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri itu berkata, desakan itu dibuat ekoran mengambil kira keadaan kesihatan Menteri Besar Kelantan itu meskipun beliau tidak dapat menafikan kehendak lebih ramai pihak yang mahu Nik Aziz terus memimpin.

 "Memanglah secara peribadi kita nak Tok Guru (Nik Abdul Aziz) berehat tetapi oleh kerana ramai mahukan kepimpinan, karisma dan barakah beliau, kita tak boleh halang, ini pun keputusan dibuat PAS Pusat, selagi orang nak kepada Tok Guru kita terimalah, Tok Gurulah yang (merasa) letihnya tetapi kita tak.

 "Kalau pengasas Hamas Almarhum Sheikh Ahmad Yassin boleh mentadbir dari kerusi roda, kita ada Timbalan (Menteri Besar) dan pegawai yang seharusnya boleh menjalankan tanggungjawab Tok Guru sebagai pemikir yang mengarahkan dasar-dasar untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rumah bernilai RM30,000 kepada keluarga fakir miskin.

 Sementara itu, penganalisis berpendapat Nik Aziz pasti menjadi liabiliti kepada parti itu sekiranya meneruskan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya sampai bila-bila.

 Dalam usianya yang sudah tua dan uzur, beberapa penganalisis politik turut meramalkan penolakan kuat daripada golongan muda terhadap kepimpinan Menteri Besar Kelantan itu sekiranya beliau berbuat demikian.

 Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat berkata, penglibatan dinosaur politik seperti Nik Abdul Aziz menyebabkan landskap politik negara mundur.

 "Nik Abdul Aziz sejak 1967 sudah masuk PAS, jadi lebih 40 tahun dalam politik. Dalam usianya yang sudah hampir menginjak 90 tahun, apakah perkhidmatan yang boleh dilakukannya, apatah lagi membawa perubahan?

 "PAS perlu sedar perkara ini agar parti itu mampu memberi cerminan segar kepada pengundi atas pagar, jangan bila mereka pegang kuasa tidak mahu melepaskan, bukan Nik Aziz, Karpal Singh dan Lim Kit Siang juga," katanya.

 Dalam pada itu, Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (PEWARIS), Datuk Dr Ahmad Zaki Ismail berkata Nik Aziz sebagai pemimpin yang arif dalam selok-belok politik seharusnya berundur sejak dahulu lagi. Katanya, ini kerana Mursyidul Am PAS itu sepatutnya berehat dan menurunkan ilmu kepimpinan beliau kepada golongan muda dalam parti itu.

 "Nik Aziz perlu menggunakan pengalaman beliau untuk memberi nasihat, meluangkan masa untuk keluarga dan melakukan aktiviti yang tidak menimbulkan kebencian antara ummah," ujarnya.

 Akhbar hari ini melaporkan Nik Aziz tetap dengan keputusannya untuk bertanding pada PRU ke 13 akan datang, malah beliau juga dikatakan akan terus bertanding sampai bila-bila waima terpaksa menggunakan kerusi roda sekali pun.

 

Nik Aziz berkata, beliau hanya akan berundur daripada politik sekiranya PAS tidak lagi memerlukannya. Bagaimanapun, ujar Nik Aziz bagi PRU13 kali ini PAS Pusat telah membuat keputusan untuk beliau terus bertanding.

Komentar KP : Masih terngiang-ngiang kenyataan Nik Aziz dahulu yang mengatakan jika hari ini Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai PM,keesokan harinya beliau akan meletakkan jawatannya juga.tapi sudah 11 tahun berlalu,namun janji yang dibuatnya dahulu hanya tinggal janji.Inilah adat berpolitik,ulama pun boleh keluk-kelik kerana terpedaya dengan kuasa dan harta dunia.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.