SHAH ALAM, 24 April — Pelaksanaan hukum Hudud tidak sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini, kata penyandang Menteri Besar Selangor di sini hari ini. Menurut Abdul Khalid Ibrahim, walaupun Hudud diterima oleh sebagai salah satu prinsip pentadbiran Islam, Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkannya untuk dilaksanakan bagi menghormati rakyat Malaysia pelbagai kaum.
“Kita mesti menerima hakikat bahawa dalam Islam, Hudud itu dianggap sebagai salah satu cara pemerintahan Islam. “Tetapi saya rasa ia tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan sekarang,” kata Abdul Khalid merujuk kepada hukum Hudud dalam satu sidang akhbar di Dewan Perumahan Exco di sini.
Menurut Abdul Khalid lagi, untuk melaksanakan Hudud, persetujuan rakyat perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum ianya dapat diimplementasikan. “Tetapi, pelaksanaan untuk masyarakat Malaysia, tidak dianggap sebagai satu ketetapan, sebab kita ada mempunyai perlembagaan, yang memberikan hak kepada semua kaum dan mengikut keadaan yang ada sekarang.
“Tapi pelaksanaan Hudud yang melebihi dari apa yang ditetapkan oleh perlembagaan, perlu mendapat kelulusan semula rakyat Malaysia,” tambah beliau yang juga merupakan pengerusi Pakatan Rakyat (PR) Selangor.
Pelaksanaan hukum Hudud telah diperjuangkan oleh PAS sebelum ini semenjak parti tersebut ditubuhkan. Namun, setelah bersama PR yang juga dianggotai oleh PKR dan DAP, PAS tidak lagi mengangkat hukum Hudud sebagai isu utama dan lebih menumpukan kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Buku Jingga dikeluarkan oleh pakatan tersebut.
Hari ini akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia melaporkan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yakin rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menerima undang-undang hudud kerana sanggup bertanding menggunakan simbol PAS jika simbol roket mereka tidak dibenarkan.
Sementara di Pulau Pinang, Karpal Singh mengatakan persetujuan DAP untuk menggunakan simbol PAS tidak bermakna parti tersebut bersetuju undang-undang hudud dilaksanakan di Malaysia. "PAS membenarkan kita untuk menggunakan logo parti mereka tidak bermakna kita telah beralih pendirian dalam penubuhan negara Islam atau undang-undang hudud," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Pengerusi DAP kebangsaan itu berkata Malaysia bukan sebuah negara Islam tetapi mengamalkan undang-undang sekular seperti mana keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan pada tahun 1988.
Hudud menjadi isu yang dimainkan oleh MCA dengan mengatakan undi untuk DAP bersamaan dengan undi untuk pelaksanaan undang-undang Islam itu oleh kerana DAP bergabung bersama PAS dalam PR. Hampir 13.3 juta rakyat Malaysia termasuk 5,200 di luar negara akan mengundi dalam Pilihan Raya 2013 yang akan diadakan pada 5 Mei ini.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.