Monday, May 13, 2013

Nasharuddin : Agenda Penyatuan UMNO-PAS Merupakan Agenda Berterusan


KUALA LUMPUR - Umno dan Pas harus menjadikan agenda penyatuan kedua-dua parti itu usaha berterusan demi mengukuhkan kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini, kata bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.

 Katanya, berdasarkan perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum 2008, Pas memulakan usaha berkenaan tetapi tidak kesampaian.

 "Bagi saya penyatuan Pas dan Umno mesti menjadi agenda berterusan. "Cuma saya tidak boleh terima apabila ada yang hendak usahakan lagi penyatuan Pas dan Umno ada yang mengatakan muka mereka hendak diludah...ini ajaran agama mana?" katanya ketika berucap pada program Wacana Kepimpinan Survival Ummah di sini, hari ini.

 Nasharuddin berkata, perbezaan pandangan bukan isu utama demi menjayakan penyatuan kedua-dua parti yang mempunyai teras perjuangan sama iaitu mempertahankan agama Islam dan Melayu.

 "Soal penyatuan ini adakah hendak tunggu dah ranap baru nak bersatu seperti di dunia Islam lain. "Selepas ranap, jadi 'ground zero' baru ada kesedaran untuk perpaduan," katanya.

 Selaku seorang yang pernah menduduki kepimpinan tertinggi Pas selama 10 tahun, Nasharuddin turut memberi rumusan mengenai Umno dan Pas. "Berdasarkan pengalaman saya, boleh dirumuskan bahawa tidak semua Umno itu iblis, dan tidak semua dalam Pas itu malaikat," katanya.

 Mengenai post mortem PRU13, Nasharuddin berkata proses penyatuan semula nasional harus dimulakan dengan penyatuan di kalangan orang Melayu."'Reconciliation' di kalangan orang Melayu itu harus menjadi agenda utama," katanya.

 Selain Nasharuddin, beberapa tokoh termasuk tokoh pendidik, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, mantan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah dan Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar.

 Program bertajuk 'Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan Dan Survival Ummah' dianjurkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Alumni UiTM. - Bernama

1 comment:

  1. Pandangan saya, dalam keadaan ini beberapa perubahan/transformasi besar harus dilakukan UMNO segera. Antara yg utama:
    1) Anjakan paksi perjuangan UMNO drpd Melayu kepada Islam, tanpa meminggirkan Melayu sebagai bangsa teras Islam di negara ini. Harus bermula dengan penubuhan Majlis Syura UMNO yang memandu perjalanan parti. Perjuangan mempertahankan Islam dan Perlembagaan diperteguhkan pada peringkat ini
    2) Pembukaan keahlian penuh UMNO kepada Cina Muslim, India Muslim, dan Bumiputera Muslim lain seperti Siam, Orang Asli, serta suku2 di Sabah & Sarawak, berbanding sekadar ahli bergabung kini. Sayap khusus untuk setiap kelompok ini diwujudkan demi memperjuangkan hak masing-masing. Parti-parti Bumiputera di Sabah & Sarawak dijemput bergabung dalam satu Gagasan Mega ini
    3) UMNO harus menjuarai isu hudud dan negara Islam, berbanding PAS yang semakin tenggelam. Pelaksanaan secara hemah dan tertib amat penting, mengambil kira kewujudan masyarakat non-Muslim. Ini juga mendekatkan penyatuan UMNO-PAS.
    4) Berdasarkan perubahan 1, 2 dan 3 di atas, Cadangan penukaran nama asal UMNO kepada United Muslim & Native Organisation/ Pertubuhan Muslim & Bumiputera Bersatu
    5) Imbangan perubahan kepada parti komponen BN yang lain. Dengan UMNO kekal sebagai teras, parti lain harus berusaha kuat memahamkan kaum diwakili masing-masing supaya menerima realiti dan kemahuan masyarakat majoriti tanpa hak minoriti ini diambil
    6) Setelah pihak minoriti akur, usaha dakwah kepada mereka harus digiatkan dan mereka diajak menyertai pihak majoriti dengan menerima Islam. Penyusunan ekonomi dan lain-lain sesama masyarakat Islam adalah lebih mudah.
    7) Pergi lebih jauh dr itu, keadaan ini akan menjadi teras kekuatan baru di peringkat global yg memungkinkan keupayaan kita utk memecahkan penguasaan negara2 maju dengan adunan harmoni masyarakat berbilang kaum ini
    Persoalannya beranikah UMNO melakukan perubahan ini?

    ReplyDelete

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.