Monday, August 19, 2013

Bung Mokhtar Gesa Kerajaan Adakan Sidang Khas Parlimen Bincang Isu Keganasan Tentera Di Mesir


SHAH ALAM – Keganasan tentera Mesir terhadap rakyatnya perlu dibincangkan secara serius melalui sidang khas Parlimen, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bong Mokhtar Radin. Beliau meminta ia segera diadakan, bersesuaian dengan tuntutan semasa.

 “Parlimen hanya akan bersidang pada 23 September depan. Agak terlambat membincangkan isu ini jika menunggu persidangan Parlimen akan datang,” katanya. Oleh itu, beliau melihat keperluan untuk sidang khas Parlimen itu diadakan segera. "Sehari suntuk memadai bagi membincangkan perkara ini," katanya.

Menurut Bong Mokhtar, Malaysia perlu menyatakan pandangan lebih tegas, meskipun sebelum ini telah menyatakan pendirian menolak keganasan oleh kerajaan sementara Mesir.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu digesa bertindak dalam menamatkan segera konflik yang berlaku di Mesir, katanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pihak berkuasa Mesir menjalankan sekatan dengan serta-merta bagi menghentikan keganasan di negara itu. Melalui laman sosial Twetter, Najib berkata:

"Kami terganggu denganlaporan keganasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir dan menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan sekatan. "Mana-mana korban awam adalah amat dikesali. Justeru, kami menggesa semua pihak menghentikan permusuhan dengan serta-merta dan bekerja ke arah penyelesaian yang aman,” katanya.

Malaysia, melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah melahirkan kebimbangan terhadap keadaan di Mesir itu. Anifah dilaporkan berkata, Kuala Lumpur berharap Kaherah dapat menyelesaikan ketidakstabilan politik itu secara aman, sekali gus membolehkan proses demokrasi dikembalikan semula.

Berbeza pula dengan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri yang berpendapat pendirian Malaysia sebelum ini sudah memadai, tanpa perlu diadakan sidang khas Parlimen.

Ini, kerana katanya, pendirian Malaysia dalam isu ini telah dinyatakan dengan tegas oleh perdana menteri yang mengutuk sebarang keganasan.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.