JERAI 23 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kekalahan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kepada Pas dengan majoriti 2,774 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu tidak akan menggugat peluang parti itu untuk merampas kawasan tersebut.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, peluang BN untuk memenangi pilihan raya kecil DUN tersebut tersebut pada 4 November ini cerah dengan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Dr. Ahmad Sohaimi Lazim dan calon Pas, Mohd. Azam Abd. Samat berbanding empat penjuru pada pilihan raya umum lalu.
Katanya, dengan pendekatan kempen yang baik oleh calon dan semua wakil BN turun padang kemenangan parti di kawasan tersebut bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai. "Kami yakin walaupun Sungai Limau dikatakan kubu kuat Pas, yang BN dilihat sebagai underdog tapi kami yakin pengundi di sini mempunyai sifat untuk membuat penilaian secara mendalam, terperinci dan tidak beremosi," kata Muhyiddin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penamaan calon pilihan raya kecil itu di sini hari ini. Muhyiddin turut menegaskan bahawa BN memilih calon terbaik dengan latar belakang pendidikan dan sangat komited dalam usaha memberi khidmat terbaik sebagai wakil rakyat di kawasan itu. "Ahmad Sohaimi sendiri telah menyatakan komitmen memajukan Sungai Limau," katanya.
Kata Muhyiddin, mandat pengundi di kawasan tersebut kepada BN kelak dilihat sebagai membawa masa depan yang cerah kepada mereka setelah wujud hubungan langsung antara wakil rakyat kawasan itu dengan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat di bawah BN.
"Kami melihat jika wakil itu datang dari BN, semua urusan seperti pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain lebih mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat," katanya.
Ketika ditanya adakah BN akan mewujudkan manifesto baharu untuk pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata, BN mempunyai manifesto pilihan raya umum yang boleh dilaksanakan di kawasan itu. "Bagaimanapun, Mukhriz boleh merangka strategi baharu untuk Sungai Limau jika mempunyai perancangan khusus memajukan kawasan itu yang kelihatan banyak ketinggalan dari aspek pembangunan sejak beberapa tahun lepas," katanya.
Kerusi DUN Sungai Limau di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong berikutan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.
Dalam pilihan raya umum lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi apabila menewaskan calon BN, Mohd. Fazillah Mohd. Ali dan dua lagi calon Bebas.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.