Saturday, January 15, 2011

Jangan politikkan isu agama - Jamil Khir



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba mempolitikkan isu-isu agama supaya menghentikannya dan menilai kesan perbuatan mereka.

Beliau berkata, provokasi yang tinggi akan menimbulkan sentimen dan kemarahan orang Islam untuk bangkit mempertahankan agama mereka.

"Jadi jangan sentuh soal ibadat orang Islam,” katanya dan mengingatkan pihak terbabit tidak menggunakan parti-parti politik untuk menguji orang Islam dengan isu agama demi kepentingan politik mereka.

Jamil Khir diminta mengulas isu seorang pengadu mempersoalkan azan dari Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur yang didakwa mengganggu tidurnya, baru-baru ini.

Beliau yang ditemui pemberita pada majlis ramah mesra pegawai penyelaras masjid daerah, imam dan guru KAFA (Kelas Agama dan Fardu Ain) di di sini hari ini berkata, surat pengadu yang diterimanya turut dihantar kepada Perdana Menteri, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita membuat kajian dan pantau apa sebenarnya berlaku. Adakah pembesar suara di pasang 24 jam atau ia hanya dipasang apabila masuk waktu (solat)?

"Islam telah diterima semua pihak sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi kini terdapat musuh politik yang cuba mengganggu-gugat perkara yang disepakati bersama,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.