Monday, September 12, 2011

Berita Baik Untuk Pengguna Kad Prabayar




KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat telekomunikasi (TELCO) di negara ini akhirnya tunduk kepada desakan orang ramai dengan menangguhkan caj cukai perkhidmatan tambah nilai dan pek permulaan SIM pelan prabayar.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, TELCO telah bersetuju menangguhkan caj cukai tersebut sehingga perbincangan di antara syarikat-syarikat itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diadakan.
“Mereka (TELCO) telah setuju untuk tangguhkan..setakat ini, itu saja kita boleh diberitahu,” katanya ketika dihubungi media selepas menghadiri satu mesyuarat bersama beberapa wakil syarikat TELCO terbesar, terdiri dari Maxis Berhad, Celcom Axiata Bhd, DiGi Telecommunication Sdn Bhd dan Umobile Sdn Bhd di sini hari ini.
TELCO sebelum ini mengumumkan akan mula mengenakan caj cukai perkhidmatan terhadap semua pelanggan pelan prabayar melalui tambah nilai dan pek permulaan SIM sebanyak enam peratus pada 15 September ini.
Tindakan tersebut telah mendapat bantahan perbagai pihak seperti  pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan pengguna dan orang ramai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu meminta TELCO untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk mengenakan caj tersebut kepada hampir 14.6 juta rakyat negara ini yang menggunakan pelan prabayar tersebut.
Kabinet tidak pernah meluluskan kepada TELCO untuk mengenakan caj sebanyak enam peratus itu kepada pengguna mereka.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.