Selepas filem kontroversi “… Dalam Botol” dikagumi ramai apabila ia ditayangkan di Festival Filem Q! iaitu festival yang mengetengahkan karya-karya sensasi dan kemanusiaan berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, ia telah berjaya menarik perhatian pengusaha filem di Hong Kong pula.
Filem arahan Khir Rahman itu telah diundang bagi memeriahkan Festival Filem Lesbian dan Gay Hong Kong yang bakal berlangsung pada 21 November sehingga 1 Disember akan datang.
Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman ketika dihubungi menyatakan rasa gembira apabila diundang ke festival tersebut dan pada masa yang sama berharap pihak penganjur akan lebih menekankan soal mesej dan kesan di sebalik isu gay, lesbian dan transeksual kepada individu serta masyarakat.
Tambahnya lagi, dia berharap dapat memberi tanggapan yang berbeza kepada peserta festival kerana filem yang akan dialih suara ke Bahasa Mandarin oleh penganjur festival tersebut bukan dihasilkan untuk memberi galakan, sebaliknya sebagai pengajaran buat mereka.
Berkemungkinan besar menghadiri festival tersebut bersama Khir Rahman serta barisan pelakon iaitu Wan Raja, Arja Lee dan Diana Danielle, penerbit yang tidak lekang dengan kontroversi ini juga menyatakan tidak kecewa dengan sambutan diberikan oleh penonton tempatan.
“Saya sedar konsep filem “… Dalam Botol” masih baru dan berbeza dengan filem komersial yang lain. Malah pemikiran masyarakat masih belum cukup terbuka dengan isu ini walaupun menyedari ia sebenarnya wujud di sekeliling mereka. Berbeza pula dengan masyarakat luar yang lebih bersikap terbuka,” jelas Raja Azmi.
Sementara itu, “… Dalam Botol” akan dipertandingkan bersama 40 buah filem cereka lain dalam Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) anjuran Gabungan Karya Filem Malaysia (GAFIM).
“Saya tidak mengharapkan “… Dalam Botol” menang di FFM24. Malah saya juga tidak kecewa dan tidak terkejut sekiranya filem ini gagal mendapat perhatian,” kata Raja Azmi sebelum mengakhiri panggilan.
“… Dalam Botol” mengisahkan Ruby (Arja Lee) atau nama sebenarnya Rubidin sanggup melakukan pembedahan jantina demi cintanya kepada Ghaus. Namun Ghaus tidak dapat menerima perubahan fizikal Ruby seperti seorang wanita lalu meninggalkannya. Perkenalan dengan seorang gadis bernama Dina (Diana Danielle) membuatkan Ruby ingin kembali menjadi seorang lelaki.-Mynewshub.my
Komentar KP: Bawa bertaubat la kepada orang-orang yang terlibat dalam gejala gay dan lesbian ini,Allah melaknat perbuatan sebegini...Nauzubillahi minzalik
Tahniah kepada Lembaga Penapisan Filem , allah telah mencucuri rHMAT ATAS MEREKA KLERANA ,MENEGAKKAN AGAMA ISLAM.
ReplyDelete