Monday, October 17, 2011

Masjid Lebuh Acheh Pulau Pinang digelar Jeddah kedua



Masjid Melayu Lebuh Acheh dianggap sebagai masjid tertua di Pulau Pinang kerana jika dilihat dari seni binanya, masjid ini dibina pada tahun 1808 Masihi.
 

Selain daripada aspek sejarah dan latar belakangnya yang menarik, perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh mempunyai warisan seni bina yang unik.

Masjid ini dilengkapi dengan menara bersegi lapan, kolah wuduk, tandas, perigi, anjung dan kawasan makam yang mencerminkan gabungan pengaruh seni bina Moorish (seni bina yang berasal dari utara India ), Cina dan Klasik.

Masjid Lebuh Acheh merupakan antara tempat menarik yang selalu dikunjungi pelancong asing dan tempatan jika ke negeri ini. 




Selain itu, masih ramai masyarakat Acheh warga Indonesia yang datang melawat masjid ini berikutan merasakan satu penghormatan emosi apabila melihatkan masjid yang dibuka oleh keturunan mereka ada di negara lain. 


Bagi memastikan bangunan-bangunan lama yang mempunyai warisan sejarah, seni bina dan budaya dapat dipelihara dan dikekalkan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang, sebanyak RM2.2 juta diperuntukkan kerajaan bagi kerja-kerja pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh ini. 

Dibuka kerabat diraja Acheh


Sejarah Masjid Melayu Lebuh Acheh bermula pada tahun 1792 apabila seorang kerabat diraja Acheh, Sumatera, Tengku Syed Hussain Al-Aidid membuka sebuah perkampungan masyarakat Islam seluas 66,000 kaki persegi di Lebuh Acheh, Georgetown.

Dengan kekayaan dimilikinya, Syed Hussain dengan kerjasama kaum keluarga dan pengikutnya membuka dan memajukan sebuah penempatan di Lebuh Acheh dengan mendirikan sebuah masjid, menara, rumah kediaman, deretan rumah kedai, Madrasah al-Quran dan pejabat perdagangan.

Hasil usahanya ini secara tidak langsung mewujudkan sebuah pusat pengajian agama Islam dan pusat perdagangan antarabangsa yang bukan sahaja terkenal pada ketika itu tetapi yang terulung dan terawal di Pulau Pinang.

Selepas kematiannya pada pertengahan Abad ke-19, perkampungan berkenaan terus berkembang maju dan mencapai tahap kegemilangannya sehingga akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Jenazah Syed Hussain disemadikan di sebuah makam yang terletak bersebelahan Masjid Melayu Lebuh Acheh dan di kawasan makam ini juga terdapatnya beberapa kubur ahli keluarganya.

Dikenali Jeddah Kedua

Suatu ketika dahulu, perkampungan ini dikenali sebagai Jeddah Kedua di rantau ini kerana di kawasan inilah ratusan bakal-bakal haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Mekah.

Setiap kali musim haji tiba, pekarangan dan persekitaran Masjid Melayu Lebuh Acheh menjadi sibuk bukan sahaja dipenuhi bakal haji yang menunggu dokumen-dokumen mereka diproses tetapi juga dibanjiri oleh sanak saudara dan sahabat.

Ini menyebabkan hampir kesemua rumah-rumah di kawasan masjid ini telah disewakan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, segala urusan haji telah terhenti semasa Perang Dunia Kedua dan disambung semula pada 1949.

Dengan tertubuhnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia pada awal 1970-an, perkhidmatan pengurusan haji di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah dihentikan.

Selain menjadi pusat perniagaan Melayu dan pusat haji, perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menjadi pusat pengajian agama Islam yang terulung di Pulau
Pinang-Sinar Harian

1 comment:

  1. HARAP DIJAGA LAH WARISAN NI SEBAIK MUNGKIN...

    PEJUANG HAMAS...

    ReplyDelete

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.