MEKAH – Seharusnya Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai ‘sentuhan anak Malaysia’.
Komentar KP: KP berbangga kerana ada juga rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan dan memberi sentuhan kepada menara ini di Kota Suci Mekah ,tempat paling suci dan barakah bagi umat islam di seluruh dunia...
Wan Nazri Wan Aria, 31, merupakan jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.
Katanya menara itu memerlukan ‘lightweight steel structure’ untuk menyokong jam gergasi itu, dan di sini kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar dari syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab itu.
Uniknya, 14 tenaga pakar dari Premier Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke sini untuk mengerjakan haji dan umrah.
Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.
“Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada tahun 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.
Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui oleh kumpulan media Tabung Haji sedang menikmati teh tarik di Restoran Felda D’saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.
Katanya beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada tenaga pakar yang melakar sejarah di Mekah, apabila dibabitkan dalam kerja-kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di tanah suci itu.
Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya yang berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.-MyNewsHub
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.