Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Tan Sri Koh Tsu Koon melepaskan jawatannya sebagai presiden Gerakan kerana gagal memimpin parti itu dengan betul.
Bercakap kepada pemberita, Dr Mahathir berkata seseorang pemimpin perlu meletakkan jawatan selepas parti yang diterajui mereka mengalami kekalahan teruk, seperti yang berlaku ke atas Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa memimpin BN pada pilihan raya umum 2008.
"Minta maaf, saya terpaksa katakan ini, terhadap Koh. Secara peribadi, beliau seorang yang sangat baik tetapi beliau telah gagal dalam tugasnya. Akibatnya, Gerakan juga gagal.
"Jika beliau memimpin Gerakan dalam pilihan raya kali ini, maka ia mungkin tidak akan membawa kesan yang diingini untuk BN. Beliau telah terlalu lama dan tidak lagi efektif, beliau harus letak jawatan," katanya.
Menurut Dr Mahathir lagi, peluang harus diberikan kepada ahli-ahli Gerakan yang lain kerana parti itu juga mempunyai pemimpin lain yang berkemampuan.Malangnya, kata beliau, dalam budaya rakyat Malaysia, pemimpin-pemimpin parti dan menteri-menteri tidak meletakkan jawatan atau bertanggungjawab apabila berlaku sesuatu yang buruk tetapi sebaliknya cuba terus mempertahankan kedudukan mereka.
Beliau mencadangkan supaya rakyat meniru budaya urus tadbir Jepun, yang menyaksikan menteri kabinet melepaskan jawatan serta-merta selepas berlakunya sesuatu skandal.
"Kita tidak perlu tinggal melebihi had tempoh. Itulah sebabnya saya letak jawatan kerana tidak mahu untuk tinggal melebihi tempoh saya sebagai Perdana Menteri dan memberi peluang kepada Pak Lah untuk menunjukkan kebolehan beliau.
"Jika tidak siapa yang tahu kredibilitinya,” katanya.-KL POS
#Sudah tiba masanya buat Koh Tsu Koon untuk berkira-kira menamatkan karier dia kerana gagal membawa GERAKAN ke arah hala tuju yang baik dalam politik untuk membantu BN dalam pilihanraya dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan yang teruk GERAKAN di P.Pinang.Dia bukan sahaja setakat perlu beritahu tidak akan bertanding lagi malah perlu membuat keputusan meletakkan jawatan sebelum PRU 13 ini.Sudah tiba masanya GERAKAN diberi nafas baru untuk dikemudi oleh orang lain yang lebih berkelayakan.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.