Thursday, December 15, 2011

Shahidan Kassim: Saya "Winnable Candidate" untuk parti


Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau adalah seorang "winnable candidate" iaitu calon boleh menang untuk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Bekas Menteri Besar Perlis itu yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Perlis kawasan Tambun Tulang berkata keyakinannya itu berdasarkan pandangan rakyat terutama di kawasan yang diwakilinya.
"Semua rakyat tahu. Kalau tidak ada hal saya tak akan keluar dari Perlis. Saya akan duduk dari pagi sampai ke malam di kawasan saya sahaja...jumpa rakyat dan sebagainya. Kalau macam itu bukan 'winnable candidate', apa makna sebenarnya?" 
katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk bertanding semula pada pilihan raya umum datang, Shahidan yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Arau, itu terserah kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

Dalam laman Facebook beliau, Shahidan turut mengulas mengenai calon boleh menang bagi semua kawasan di Perlis, dengan memberi penilaian iaitu baik, sederhana baik, buruk, terburuk kepada mereka.

"Ada sesetengah pihak mempersoalkan kenapa saya buat macam itu.
"Masalahnya rakyat dah bercakap (menilai) macam itu. Bukan kita yang buat penilaian tetapi rakyat yang membuat penilaian. Jadi saya bagi pandangan rakyat apa yang berlaku. Kita bercakap (mengenai winnable candidate) tapi tak ada ciri yang jelas," katanya.
Shahidan berkata bahawa dalam menyelesaikan masalah rakyat, seorang calon boleh menang tidak akan memberi alasan tidak ada peruntukan dan sebagainya, sebaliknya perlu berikhtiar dan berusaha termasuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
"Rakyat tak faham (soal peruntukan) itu. Kalau calon boleh menang, dia perlu berkorban. Tetapi pada masa yang sama hakikatnya ialah bukan semua masalah boleh diselesaikan serta merta oleh kerajaan," katanya.
Mengenai senario politik semasa, beliau berkata negara tidak akan kekal aman sekiranya kemenangan berpihak kepada minoriti yang mahu menguasai majoriti.
Katanya penduduk Malaysia merangkumi 67 peratus kaum Melayu dan bumiputera, 22 peratus Cina dan lapan peratus India, jadi kemenangan wakil rakyat mesti mewakili nisbah mengikut kaum untuk keharmonian negara.
"Pas tak akan jadi pemerintah sebab dia minoriti. Kalau nak jadi pemerintah pun DAP. Tapi kalau dia jadi pemerintah pun, bolehkah dia mewakili rakyat secara keseluruhan?" kata Shahidan.
Menyentuh politik di Perlis, beliau berkata Umno dan Barisan Nasional boleh mengekalkan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang dengan syarat parti dapat memperkukuhkan perpaduan anggota dan mempunyai jentera pilihan raya yang berkesan.
"Kita boleh menang dengan cemerlang dan boleh kalah dengan teruk. Isu dalaman kena diperbetulkan. Begitu juga dengan orang yang menyokong MCA. Tapi di peringkat akar umbi, jentera sudah bergerak di seluruh negeri," katanya.
Shahidan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah menunjukkan jalan terbaik dan memberi contoh kepada kepimpinan peringkat bawahan supaya bermula sekarang bagi memenangi hati rakyat.
"Siapa yang tak mahu ikut perubahan dia mesti diubah," katanya.
# Hebat Dato Seri Shahidan Kassim,dia seorang saja setakat nie berani isytihar seorang winnable candidate untuk parti.YB -YB lain mana pi ?? Takut hilang kerusi la tue...

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.