PETALING JAYA, 8 JAN : “Saya dipecat hanya kerana isu Anwar”, itu rumusan Datuk Dr Hasan Ali pada sidang akhbar ringkas beliau di kediamannya sebentar tadi mengenai tindakan Pas memecatnya dari parti itu hari ini.
"Atas dasar saya dipecat ialah kerana perkara itu (komen perhimpunan Anwar 901), dan saya paling tak seronok bila desakan daripada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (menyuruh) pecat Hasan Ali,” ujar bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.
“Macam mana orang Pas boleh ditunjuk oleh beliau? Mujurlah ada Pemuda Pas (mengatakan) apa hak Azmin untuk beri arahan memecat saya? Apa hak Azmin nak masuk dalam rumah tangga Pas?" tambah beliau.
"Walau apa pun yang berlaku, samada saya digugurkan daripada jawatan exco, saya akan berjuang demi Islam, untuk bangsa Melayu dan untuk institusi raja," tegas Hasan selepas perjumpaan tertutup dengan kira-kira 150 penyokong di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur.
Antara yang hadir ialah Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan bekas Timbalan Presiden Pas Nasarudin Mat Esa.
Turut hadir ialah beberapa bekas anggota pimpinan Pas Selangor.
Jawatankuasa Pusat Pas petang tadi sebulat suara memecat Hasan di atas tindakan yang disifatkan sebagai merugikan parti termasuk tindakan beliau mengecam perhimpunan bebaskan Anwar anjuran PKR esok di Jalan Duta.
Perhimpunan itu adalah sempena keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai tuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar. Jika disabit kesalahan, Ketua Pembangkang itu boleh dihukum penjara 20 tahun.
Antara lain, Hasan juga berkata dua pemimpin Pas iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat layak menjadi Perdana Menteri jika Anwar disabit kesalahan meliwat dan dipenjarakan.
Berang dengan komen Hasan itu, Azmin kelmarin menggesa Pas untuk mengambil tindakan terhadap Hasan demi keutuhan Pakatan Rakyat. Beliau menuduh Hasan sebagai celupar dan membawa agenda Umno.
Bagaimanapun Ketua Pemuda Pas Nasaruddin Hassan Tantawi berkata PKR tidak perlu masuk campur dalam urusan Pas.
Selepas Hasan dipecat, Nasaruddin berkata walaupun Pemuda menyokong keputusan itu, beliau berharap Hasan tidak meminggirkan perjuangan Islamnya dan akan kembali bersama parti itu kelak.
Hasan berkata beliau akan memanggil sidang akhbar minggu depan untuk menjawab persoalan mengenai masa depannya termasuk keduddukan beliau sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri.-Antarapost.com
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.