Wednesday, March 28, 2012

Azmin Dapat Mana 2 Juta Untuk Beli Saham ??


Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dicabar supaya menjelaskan butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 daripada terus mencari kesalahan orang lain.

Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa itu diminta segera berbuat demikian kerana ketika itu beliau hanya pegawai kerajaan biasa yang tidak mampu memiliki banyak wang untuk membeli saham bernilai berjuta-juta ringgit.

Bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata Mohamed Azmin sepatutnya terlebih dulu mencermin diri sebelum melemparkan sebarang tuduhan jahat terhadapnya.

“Sila jelaskan dari mana sumber kewangan YB Bukit Antarabangsa dan isterinya membeli saham yang nilainya mencecah RM2 juta, sedangkan ketika itu saya difahamkan beliau hanya menerima gaji kira-kira RM2,000 saja.

“Sila nafikan laporan yang menyatakan Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S A Vickneswaran yang mendakwa Azmin dan isteri termasuk seorang ipar memiliki saham mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an. 

Saya timbulkan perkara ini kerana bagi saya Mohamed Azmin tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk berbicara soal kredibiliti, integriti dan ketelusan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Hasan menganggap tuduhan Mohamed Azmin beliau menggunakan ratusan ribu ringgit untuk membaikpulih pejabat EXCO Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam serta program Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri, sebagai tindakan tersirat yang mahu menjatuhkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tindakan mempersoalkan kewibawaan saya di DUN baru-baru ini secara langsung mempertikai kredibiliti kerajaan negeri pimpinan Khalid. Ini kerana kelmarin Khalid sendiri sudah mengesahkan perbelanjaan itu mengikut tata cara perbendaharaan negeri. 

“Ini seperti membunuh dua burung dengan sebiji batu. Memang PKR ada perbalahan dalaman di Selangor kerana Azmin menggantikan Khalid sebagai Pengerusi PKR negeri. Malah, dengan kedudukan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai penasihat ekonomi negeri, pasti lebih selesa buat Azmin,” katanya.

Hasan turut mencadangkan supaya semua perbelanjaan EXCO dan pengarah agensi serta anak syarikat kerajaan negeri diisytiharkan kerana ada pihak lain yang mengeluarkan belanja lebih besar untuk membaik pulih pejabat.

“Saya merasakan jumlah yang saya belanjakan sederhana kerana pengubahsuaian termasuk untuk semua pegawai dan kakitangan Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) berjumlah 19 orang. 

Mengikut maklumat, kosnya lebih rendah jika dibandingkan pengubahsuaian pejabat EXCO lain,” katanya.-Utara News

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.