Sunday, March 11, 2012

Najib : Keputusan Pengunduran Shahrizat Tepat Dan Betul



Pekan, 11 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengundurkan diri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah satu keputusan yang tepat dan betul.
Perdana Menteri berkata pengunduran diri itu dilihat sebagai satu pengorbanan demi kepentingan kerajaan dan parti.
“Walaupun setakat ini tiada bukti beliau buat kesalahan dari segi undang-undang, namun sebab isu NFC mengundang pertikaian dan kontroversi, beliau sanggup berundur daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis tahlil Allahyarham Tun Abdul Razak di Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan, di sini, hari ini.
Shahrizat dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.
Bagaimanapun, Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).
Ditanya kedudukan Shahrizat dalam parti, Perdana Menteri berkata jawatan dalam parti adalah sesuatu yang terpisah daripada jawatan dalam kerajaan.
“Ini kerana kes NFC (Perbadanan Fidlot Nasional) mencetuskan pertikaian jawatan beliau sebagai menteri dalam kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri juga menyarankan supaya anggota-anggota parti terutamanya Wanita UMNO terus memberi sokongan dan kerjasama kepada Shahrizat selaku ketua pergerakan itu.
“Beliau telah memberi komitmen untuk memimpin Wanita dan menjadikan pergerakan Wanita sebagai jentera yang penting dalam pilihan raya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pengganti Shahrizat dalam jawatan Kabinet itu, Perdana Menteri berkata perkara itu akan ditentukan kemudian kerana tempoh Shahrizat sebagai menteri Kabinet masih berbaki beberapa minggu lagi.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.