Saturday, August 4, 2012

Harakah Puji Najib Hari Ini


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, Perdana Menteri telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan.

 Menurut beliau, surat itu dihantar kepada beliau Jumaat semalam dan sampai ke tangan Setiausaha Sulitnya, Rosdi Mohamad. Perkara ini dimaklumkan oleh Tuan Guru Nik Aziz kepada Harakahdaily sebaik sahaja selesai solat subuh di masjid berhampiran rumahnya di Pulau Melaka pagi ini.

 Beliau juga turut memaklumkan berita ini dalam tazkirah Subuh yang disampaikan beliau sebaik sahaja selesai solat Subuh di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya pagi ini. Kelantan sejak sekian lama memperjuangkan agar Petronas membayar royalti minyak kepadanya berdasarkan telaga minyak yang ada berdekatan dengan pantai Kelantan.

 Namun, kerajaan Pusat hanya membayar wang ehsan kepada wakilnya, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang ada di Kelantan dan bukannya kepada kerajaan negeri sebagaimana yang tercatat dalam perjanjian.

 Ekoran itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah memfailkan saman terhadap Petronas namun kerajaan pusat memohon untuk menjadi defendan bersama. Baru-baru ini, anggota Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah meminta kerajaan pusat menyelesai isu royalti Kelantan ini sebelum pilihan raya umum ke 13.

 "Surat ni diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya," kata Tuan Guru Nik Aziz kepada Harakahdaily. Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Tuan Guru Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Tuanku Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara ini.

Yang menariknya, istilah yang digunakan dalam surat ini adalah pembayaran 'bayaran tunai'. Jawatankuasa ini pula akan bersidang dalam tempoh enam bulan bagi menentukan pembayaran ini. Reaksi

 Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz menyambut baik keputusan kerajaan ini dan menyifatkannya sebagai keberkatan bulan Ramadhan. "Semoga Allah membuka pintu hati kerajaan Pusat selepas jawatankuasa ini bersidang," katanya.

 Beliau juga beranggapan, apa yang berlaku ini sedikit sebanyak adalah berkat doa rakyat Kelantan termasuk 40 orang ulama yang pergi ke Mekah sebelum ini untuk bermunajat kepada Allah agar diselesaikan isu ini segera.

 Beliau juga meminta semua rakyat Kelantan terus berdoa agar pembayaran royalti ini menjadi kenyataan. Tuan Guru Nik Aziz juga berkata, beliau sangat gembira jika bayaran royalti ini menjadi kenyataan tetapi sedar ia adalah satu amanah besar dari Allah. "Harta kerajaan ini tidak boleh buat pandai-pandai, harta sendiri pun tidak boleh buat ikut sedap je," kata beliau.-Harakah Daily

Komentar KP : Jadi,memang benarlah desas-desus bahawa Kelantan bakal menerima Royalti seperti yg dituntut mereka selama ini,KP berharap dengan keterbukaan kerajaan untuk menangani isu royalti minyak di Kelantan ini  ,akan membuka sinar buat rakyat Kelantan untuk kembali memberi mandat kepada UMNO dan BN setelah 20 tahun lebih merana di bawah pemerintah PAS tanpa sebarang kemajuan yang pesat di Kelantan dan ditipu dengan pelbagai janji yg tidak tertunai sehingga ke hari ini misalnya isu masalah air di kelantan 

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.