Saturday, August 4, 2012

Najib Masih Berteka-teki Dengan Tarikh Pilihanraya Umum -13


KUALA LUMPUR - Isu melibatkan Sabah khususnya keputusan Datuk Seri Lajim Ukin tidak akan melambatkan rancangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

 "Ia tidak akan melambatkan rancangan untuk diadakan pilihan raya," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Najib yang disebut-sebut akan memanggil PRU13 selepas sambutan Aidilfitri berkata, kemungkinan ia akan diadakan tahun ini dan jika tidak, tahun depan.

 "Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Sama ada tahun depan atau tahun ini.

 "Tidak boleh menganggap ia (diadakan) tahun ini, boleh jadi tahun depan. Tidak boleh menganggap tahun depan, boleh jadi tahun ini," kata Presiden Umno ini.

 Pada 28 Julai lepas, Lajim mengumumkan perletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta-merta. Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai anggota Umno.

 Lajim yang mengumumkan peletakan jawatannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu, dilaporkan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 Pada 31 Julai, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan Lajim sebagai timbalan menteri itu.

 Umno juga dilaporkan menghantar surat tunjuk sebab kepada Lajim berhubung perletakan jawatannya dalam parti dan BN untuk dijawab bagi pertimbangan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam perlembagaan Umno.

 Mengenai desas-desus bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan Lajim bertanding pada PRU13 atas tiket pakatan pembangkang, Najib berkata: "Itu biasalah, itu kerja dia. Dia biasa buat janji macam-macam.

" Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, beliau akan ke Sabah untuk bertemu dengan rakyat dan pemimpin BN di negeri tersebut pada 11 Ogos ini. Pada masa itu, beliau juga akan mengumumkan butiran mengenai Suruhanjaya Diraja Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah.

 Sementara itu, ditanya mengenai persepsi umum terhadap kerajaan berhubung penahanan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, yang mendedahkan penyata akaun projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Najib berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana ia sedang melalui proses mahkamah.

 Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, sekiranya seseorang itu mempunyai maklumat sulit mengenai sesuatu, mereka seharusnya mendedahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya kepada umum.

 "... kerana jika anda dedahkan, anda menentang Bafia (Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan)... dan sebab kenapa Bafia wujud adalah bagi melindungi integriti dan kredibiliti sistem kewangan.

 "... kerana sesiapa yang mempunyai akaun dalam sistem kewangan mesti merasai bahawa orang itu dilindungi dengan baik atau jika tidak orang ramai tidak akan menyimpan wang dalam sistem itu dan ini bertentangan dengan kepentingan umum.

 "Tetapi ia tidak bermakna kita akan membenarkan amalan rasuah atau pengubahan wang haram kerana anda akan sentiasa mendedahkan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa yang berkenaan," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.