ALOR SETAR 15 Okt. - Dewan Ulama Pas Kedah membidas sikap DAP yang selalu tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam khususnya hati' ahli-ahli Pas apabila menentang undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri ini.
Setiausaha dewan itu, Syeikh Zainol Asri Ramli berkata, DAP tidak sepatutnya bertindak demikian kerana terdapat perkara yang Pas boleh berpakat dengan DAP dan ada juga perkara yang tidak boleh, dalam pakatan pembangkang.
"Pada saya, kita (Pas) nak jaga sangat DAP tetapi DAP tidak jaga hati kami. Sebenarnya kerjasama dalam pakatan (pembangkang) bersifat longgar dan fleksibel kerana ada benda yang boleh dan ada benda yang tidak boleh kita berpakat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lee Guan Aik semalam yang menegaskan DAP tidak sekali-kali akan membenarkan undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri ini termasuk pelaksanaan garis panduan papan iklan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Guan Aik berkata, DAP membantah garis panduan itu yang antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung jika beragama Islam manakala model bukan Islam perlu berpakaian sopan.
Baru-baru ini, Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, garis panduan yang akan dikuatkuasa tahun depan itu meliputi penggunaan bahasa, landskap dan pakaian model iklan iaitu tidak membenarkan model beragama Islam berpakaian mendedahkan aurat. Syeikh Zainol Asri berkata, Pas tidak perlu berbincang dengan DAP untuk mendapatkan persetujuan melaksanakan garis panduan berkenaan kerana menutup aurat hanya berkaitan masyarakat Islam sebagaimana dituntut ajaran Islam.
"Memang isu ini kalau dilihat ada kesan kepada politik Pas tetapi ini bukan soal politik semata-semata tetapi ia adalah kehendak Islam tanpa mengira fahaman politik," katanya. Justeru beliau menyokong garis panduan MBAS itu kerana ia adalah sebahagian kaedah dakwah untuk masyarakat Islam dan pada masa yang sama seiring dengan kehendak ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahya berkata, sayap parti itu turut menyokong langkah MBAS memperkenalkan garis panduan berkenaan kerana ia menepati kehendak agama dan budaya masyarakat masyarakat timur.
"Langkah itu juga menepati kemahuan semua kaum sebab dalam dunia tidak ada mana-mana kaum yang mahu iklan tidak sopan malahan ramai juga yang membantah iklan yang mengeksploitasi wanita," katanya sambil mengucapkan tahniah kepada MBAS. `
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.