Saturday, November 24, 2012

Air : Kerajaan DAP tak mahu bayar satu sen kepada Kedah


- Pulau Pinang tidak akan bersetuju dan menolak jika diminta Kedah untuk membayar air yang diambil dari Sungai Muda kerana termaktub dalam Riparian Right.

 Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jaseni Maidinsa berkata, perkara yang termaktub dalam Riparian Right iaitu mana-mana pihak pun tidak perlu membayar jualan itu pada mana-mana pihak lain. Beliau berkata, contoh terdekat ialah Sungai Mekong apabila beberapa negara berkongsi dan menggunakan airnya namun tidak ada satu pun dari negara terbabit membayar kepada China.

 “Kedah tidak ada hak untuk mendapatkan sebarang bayaran air kerana kaedah saluran air yang digunakan adalah semula jadi.

 “Setakat ini, tiada permohonan rasmi dari Kedah berkenaan isu berkaitan sebaliknya hanya dinyatakan dalam Bajet 2013 negerinya,” katanya pada sidang media di sini kelmarin. Menurutnya, memang ada negeri yang membayar jualan air seperti Melaka kepada Johor dan Pahang kepada Selangor.

 “Namun ia dikenakan bayaran kerana bukan melalui kaedah semula jadi sebaliknya melalui saliran paip atau terowong,” katanya.

 Beliau berkata demikian mengulas Bajet 2013 Kedah dimana Menteri Besar Kedah,Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan bahawa antara punca antara hasil tahun depan ialah bayaran air dari Pulau Pinang.

 Sementara itu, Jaseni meminta semua negeri mewartakan kawasan tadahan air bagi melindungi kepentingan kehidupan dan ekosistem pada masa depan.

 Jika tidak bekalan air di setiap negeri akan berkurangan, malah kualiti dan kuantiti air mentah juga dikhuatiri akan terancam.

 “Pulau Pinang mengorak langkah ke hadapan dengan mewartakan sembilan kawasan sejak tahun 2004. “Negeri lain dinasihatkan agar mengambil langkah yang sama agar sebarang aktiviti termasuk pembalakan di kawasan berhampiran tadahan air tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.