SHAH ALAM – Polemik siapa yang bakal jadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dibangkitkan pada Muktamar Pas baru-baru ini boleh menguntungkan Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, pengundi atas pagar melihat isu ini sebagai kelemahan ketara PR.
Ini kerana, ia jelas menunjukkan PR mempunyai dasar amat longgar walaupun sebelum ini ketiga-tiga parti komponen iaitu Pas, PKR dan DAP bersetuju melantik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika mereka berjaya menawan Putrajaya.
“Dengan meletusnya isu ini, rakyat boleh menilai PR. Jika jawatan Perdana Menteri pun masih belum diputuskan secara mutlak, apatah lagi jawatan-jawatan Kabinet yang lain," katanya.
Mohd Fuad berkata, isu itu dibangkitkan mungkin kerana sesetengah pemimpin Pas mulai tidak percaya dengan kemampuan atau kewibawaan Anwar untuk memimpin negara. Beliau turut menjangka sokongan bukan Melayu kepada PR akan menurun jika polemik ini tidak diselesaikan sebelum PRU13.
“Banyak kajian sebelum ini menunjukkan bukan Melayu menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kerana beliau dilihat lebih terbuka dan liberal, manakala Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat sebagai tegas dalam perjuangan Islam.
“Jadi, jika isu ini tiada kata putus, undi bukan Melayu akan beralih arah walaupun tidak besar,” katanya.-SH
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.