Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak berhubung laporan berkenaan dengan kenyataan menyentuh kebebasan beragama, yang menurut beliau telah diputarbelitkan oleh akhbar terbitan syarikat berkenaan.
Nurul Izzah memfailkan tuntutan saman melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau selaku plaintif, menamakan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak masing-masing defendan pertama dan kedua.
Saman itu berhubung empat artikel yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia antaranya bertajuk: "Melayu bebas pilih agama? Rakyat tidak harus dipaksa amal ajaran tertentu - Nurul Izzah" bertarikh 5 November lalu.
Beliau menuntut akhbar tersebut memohon maaf, mendapat perintah menghalang defendan menerbitkan kenyataan yang berunsur fitnah, gantirugi am, gantirugi teladan, gantirugi teruk serta kos mahkamah.
Pada 3 November lalu, Nurul Izzah telah mencetuskan kontroversi berhubung isu kebebasan beragama untuk orang Melayu.
Kenyataan beliau itu dibuat pada wacana berjudul: Negara Islam: Versi siapa?, Tanggungjawab Siapa?,” anjuran sebuah pergerakan Kristian di Subang Jaya 3 November lalu.
Nurul dilaporkan berkata orang Melayu tidak harus terkecuali daripada kebebasan agama dan hak itu bukan istimewa untuk bukan Melayu sahaja.
Kenyataan itu dilaporkan dalam beberapa portal berita, termasuk Antarapos dan Malaysiakini sebelum menjadi tajuk utama Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Nurul mengeluarkan kenyataan menjelaskan beliau tidak sama sekali menggalakkan atau menerima murtad.
Beliau kemudian mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia dan Berita Harian serta menimbang untuk menyaman beberapa blog.
Antarapos menyiarkan klip video jawapan penuh Nurul kepada soalan daripada hadirin di majlis itu.
Biarkan je dia saman, Zul Nordin dah offer nak pertahankan utusan.
ReplyDelete