KOTA BHARU 29 Okt. - Tidak ada individu lain layak menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin tertinggi Pas kerana Mursyidul Am Pas itu mempunyai pengalaman dan ketokohan memimpin parti tersebut menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memberi bayangan, kepimpinan Nik Abdul Aziz mungkin hanya diperlukan khusus untuk pilihan raya sahaja dan soal lain selepas itu seperti siapa akan menjadi Menteri Besar akan diuruskan kemudian.
"Soal sekarang ini ialah orang yang akan memimpin Pas dalam pilihan raya di Kelantan, kita bukan bercakap soal Menteri Besar, jadi setakat ini orang yang paling layak memimpin Pas dalam pilihan raya adalah Tok Guru (Nik Abdul Aziz) disebabkan pengalaman, ketokohan, kepimpinan dan penghormatan masyarakat kepada beliau.
"(Tugas) panglima perang adalah tengok peta dan buat arahan, yang berperang itu askar biasa sahaja, jadi tidak berbangkit soal dia uzur atau tidak uzur, soal dia boleh berdiri atau tidak boleh berdiri, itu biar kena faham kerana bukan dia yang akan pergi berperang," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan di Akademi Kreativiti dan Inovasi Limkokwing Kelantan di sini hari ini. Mohd. Amar menolak dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bahawa Pas mempunyai masalah dalaman yang hebat dan gagal mencari pengganti sesuai kerana mahu Nik Abdul Aziz bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 sekali gus kekal menjadi Menteri Besar.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan Nik Abdul Aziz makan 'gaji buta' sebagai Menteri Besar kerana banyak menyerahkan tugas kepada orang lain. "Ini bukan makan gaji buta, jadi Menteri Besar ini macam jawatan pengurus besar syarikat, bukan dia yang buat kerja tetapi dia hanya beri idea, garis panduan dan arahan sahaja, yang buat kerjanya orang lain.
"Menteri Besar ini macam itulah, bukan dia yang turun, dia duduk dan beritahu dalam ekonomi dia mahu macam ini, dalam pendidikan macam itu, jadi Exco yang buat kerja, tidak berbangkit soal makan gaji buta," katanya. -Utusan Malaysia
entah sempat atau tidak tuan guru nak menghadapi PRU13. kalo tak sempat, alamt telingkup la PAS sbb takda pengganti. Akai dok mana tak tau
ReplyDelete