Wednesday, November 28, 2012

Tuduhan UMNO tak pejuang Islam karut - Fathul Bari




Perhimpunan Agung Umno 2012 menyediakan wadah bagi parti memperkukuh usaha memartabat syiar Islam yang diperjuangkan Umno sejak sekian lama sehingga Malaysia menjadi negara Islam teladan.
Perhimpunan yang berlangsung sehingga 1 Dis ini, dan bermula dengan persidangan serentak sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno hari ini, bukan sahaja suatu kelangsungan kepada politik dan masa depan orang Melayu, tetapi juga Islam sebagai agama persekutuan.
Tanpa menggunakan label Islam pada namanya, Umno dengan penuh bijaksana memperkukuh syiar Islam dalam serba kesederhanaan pada ketika penganut ajaran lain turut mengamalkan agama masing-masing dengan selesa.
Namun mungkin kerana cemburu dan takut atas hakikat kejayaan Umno itu, ada percubaan pembangkang yang menggunakan label Islam, untuk menidakkan keIslaman Umno pada ketika parti pembangkang itu sendiri gagal berbuat apa-apa untuk Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahya berkata Islam terbina atas lima perkara; mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji.
"Umno adalah pelopor yang jelas bagi lima perkara itu dalam negara kita.
Kerajaan yang diterajui Umno telah mewujudkan badan-badan yang memantau soal akidah berteraskan syahadah.
"Bagi rukun Islam kedua, solat, kerajaan menyediakan banyak masjid dan surau dan kita boleh bersolat secara terbuka, tanpa halangan dan gangguan," katanya kepada Bernama di sini.
Fathul Bari berkata dalam rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa, kerajaan menerusi badan-badan tertentu bukan sahaja menguatkuasakan larangan makan minum secara terbuka dalam kalangan orang Islam, malah membudayakan solat tarawih.
"Bagi Rukun Islam yang keempat iaitu menunaikan zakat, pengurusan baitulmal di negara ini antara yang cemerlang di dunia. Begitu juga bagi Rukun Islam yang kelima iaitu haji, kita mempunyai badan (Tabung Haji) yang begitu berjaya dalam menguruskan soal jemaah haji ke Makkah dan diiktiraf terbaik di dunia," katanya.
Beliau berkata memandangkan lima asas itu telah didukung kepimpinan Umno, maka dakwaan pihak tertentu kononnya Umno tidak memperjuang Islam adalah karut semata-mata.
"Dari segi dasar, Umno adalah parti yang menegak, mempertahan dan mengembangkan agama Islam di negara ini. Tiada pihak yang waras yang akan menafikannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.