Wednesday, December 12, 2012

Penyebaran fitnah jadi modal pembangkang menjelang PRU13




Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas puak-puak yang tidak bertanggungjawab khususnya pembangkang yang terus melontar fitnah kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 13.
“Kita tahu bahawa mereka ini tidak ada isu dan mereka akan mencari perkara-perkara yang boleh dijadikan bahan untuk mengelirukan rakyat kerana mereka mahu meraih undi,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN.
Dalam hal ini beliau menyorot insiden baru-baru ini apabila pembangkang membuat cerita kononnya 300,000 orang India tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil kelahiran yang sah sedangkan kerajaan telah menyediakan program bahawa sesiapa saja yang tidak mempunyai dokumen terbabit boleh membuat laporan atau memaklumkan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
“Hasil laporan sebenar hanyalah 9,000 orang shaja. Inilah masalah mereka ini yang membuat pembohongan, membuat janji dan akhirnya janji mereka tidak ditepati sebagaimana Kampung Buah Pala di Pulau Pinang. Mereka ini tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Tohmahan dan fitnah pembangkang juga turut dilemparkan kepada isteri Perdana Menteri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor apabila buku berkaitan biografi beliau dilancarkan.
“Mereka sudah mula mecemuh dan mengata sedangkan biografi ini menjawab segala tohmahan-tohmahan yang dibuat.
“Mereka ini akan mencari bermacam-macam helah untuk meraih sokongan dan saya berkeyakinan bahawa macam-macam lagi tuduhan yang akan keluar yang mana ia tak masuk dek akal pun.”
Justeru beliau mengajak rakyat agar tidak lupa bagaimana puak-puak tersebut menuduh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terlibat dalam kematian model Mongolia Altantuya Shaariibuu dan memaparkan gambar Perdana Menteri makan semeja dengannya tetapi akhirnya Naib Presiden PKR, Tian Chua sendiri telah mengaku bahawa ia terhasil daripada teknik superimpose .
“Mereka sanggup berbuat demikian untuk memperlihatkan bahawa ia adalah benar sedangkan keadaan tersebut tidak pernah berlaku. Inilah masalah yang akan mereka bangkitkan dan akan terus dilaksanakan sedemikian iaitu melemparkan fitnah terhadap kita.
“Kita lihat bagaimana tingkah mereka yang memasang bendera dimerata-rata tempat, dari tahun 2004, 2008, ketika kita masih berkerajaan di negeri-negeri tadbiran mereka sekarang pun kita tidak pernah membuat kerenah atau melempar onar namun apabila kita menaikkan bendera parti kita maka mereka turunkan bendera kita sesuka hati.
“Mereka juga memasang poster-poster yang mengajak rakyat mengundi mereka sedangkan ia bukanlah dalam musim pilihan raya pun walhal sewajarnya apa yang mahu dilakukan agar berpaksikan kepada undang-undang kerana negara kita ada perundangan dan peraturan dan jangan lakukan sebaliknya.”
Tegasnya lagi, macam-macam perkara telah diheret oleh pakatan pembangkang dalam kancah politik dengan dijadikan isu sebagaimana isu Lynas dan isu AES sedangkan ia adalah untuk memastikan rakyat berubah kepada keadaan lebih baik, berdisiplin dan ikut peraturan.
“Mereka politikkan juga AES dengan pelbagai tuduhan sedangkan apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk kebaikan. Kerajaan membawa perubahan untuk kebaikan jadi janganlah kita guna apa yang kerajaan laksanakan sebagai bahan politik dan dijadikan sebagai satu kesempatan.
“Begitu juga keadaannya apabila kerajaan menetapkan untuk tidak membenarkan demonstrasi jalanan sebaliknya dibenarkan berkumpul atau menyuarakan pendapat ditempat-tempat tertentu tetapi pembangkang melakukan juga demonstrasi jalanan kerana mahu melihat keadaan kucar-kacir.”
Ujarnya, tingkah pembangkang cuba mengikut negara-negara barat atau Timur Tengah dengan kononnya boleh menukar kerajaan melalui demonstrasi jalanan.
“Kita ada cara, jika mahu mengambil alih kerajaan maka lakukanlah dengan pilihan raya. Tiap-tiap lima tahun kita ada pilihan raya tetapi mereka menuduh pula bahawa pilihan raya yang diadakan tidak telus.”
Soalnya, jika ianya benar tidak telus bagaimana Pas boleh berkerajaan di Kelantan selama 22 tahun, bagaimana boleh ada 82 orang wakil rakyat dari pakatan pembangkang di Parlimen, bagaimana pakatan pembangkang boleh menang di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor?
“Kalau pilihan raya tidak telus maka sudah pastilah mereka tidak akan menang. Sekarang ini mereka buat helah lagi dengan menuding jari mengatakan bahawa mereka kalah bukan kerana rakyat tidak mahu dengan didakwanya berlaku penipuan. Yakinlah, BN tidak pernah menipu sesiapa. Yang menipu adalah mereka dan bukan kita.”
Tambahnya lagi, taktik tersebut akan berlarutan dengan pelbagai perkara lagi akan dibuat.
“Orang dah tahu pembohongan mereka dan mereka tidak dipercayai lantaran permainan politik yang tidak bertanggungjawab.
“Ingatlah, undi mereka akan membawa bahana kepada negara kita sedangkan undi BN akan membawa kita ke hadapan. BN telah buat pelbagai perubahan, ISA dimansuhkan, perubahan kepada badan keselamatan dan pelbagai tindakan dibuat selaras dengan kehendak rakyat. Janji BN selalu ditepati dan tidak terbawa-bawa dengan kelakuan mereka sehinggakan mereka anggap manifesto bukan lagi janji,” tegasnya. – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.