GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan meneruskan tindakannya untuk mengheret Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Dr Shaik Hussein Mydin ke mahkamah berikutan kegagalan Shaik memohon maaf seperti yang diminta sebelum ini.
Guan Eng yang diwakili peguamnya, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya sudah menghantar notis selain memberi tempoh mencukupi bagi membolehkan Shaik membuat permohonan maaf kepada Ketua Menteri, namun beliau enggan.
"Oleh itu, kita akan teruskan dengan tindakan seterusnya, iaitu membawa isu ini ke mahkamah. Saya akan adakan sidang media dalam waktu terdekat. Buat masa ini, itu saja komen saya," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sementara itu, Shaik pula ketika dihubungi berkata, beliau tiada masalah dengan tindakan itu berikutan mempunyai cukup bukti untuk dibawa ke mahkamah nanti. “Apa yang saya boleh kata sekarang ini, 'see you in court!'.
Saya tidak akan minta maaf sepertimana yang mereka minta. Kalau mereka nak bawa ke mahkamah, silakan. “Mereka sebenarnya nak tutup mulut saya, itu saja. Tapi saya tidak akan berdiam diri, mereka nak jalan itu (ke mahkamah), saya ikut sahaja.
Saya sudah tawarkan dialog, mereka tolak, jadi apa lagi yang saya perlu buat? Tidak mengapalah, kita jumpa di mahkamah nanti, yang penting, rakyat tahu apa tujuan mereka mengheret saya sehingga ke mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Shaik diminta meminta maaf dan menarik semula kenyataan yang dianggap fitnah terhadap Guan Eng yang dibuatnya pada Oktober lalu.
Shaik diminta berbuat demikian apabila didapati mengeluarkan kenyataan Guan Eng ada menerima rasuah daripada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) berhubung isu tanah Taman Manggis pada satu sidang media 5 Oktober lalu. Pada sidang media berasingan, Shaik kemudiannya mencabar Guan Eng supaya menarik balik notis itu atau beliau akan melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Shaik yang enggan memohon maaf turut mencabar Guan Eng untuk berdialog dengannya bagi membincangkan isu itu di hadapan semua media bagi mendapatkan penjelasan yang sebenar.
LIM Guan Eng (kanan) seolah-olah menarik semula tangannya daripada bersalam dengan Shaik Hussein Mydin ketika beliau hadir bagi memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Pulau Pinang, semalam. |
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.