BUKIT MERTAJAM - Rumah Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pasir di sini dipecah masuk sekumpulan penjenayah mengakibatkan kerugian lebih RM100,000. Mohd. Zaidi Mohd. Said, 43, berkata kejadian disedari oleh ayahnya Mohd. Said Abdul Hamid, 70, yang datang ke rumahnya pukul 6 pagi hari ini.
"Ayah tinggal bersebelahan rumah saya dan dia datang ke rumah untuk melihat keadaan kediaman berikutan kami (beliau dan isteri) tiada di rumah kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Kuala Lumpur.
"Dia (ayah) tengok pintu belakang rumah terbuka dan dia masuk ke dalam rumah mendapati semua bilik telah digeledah oleh penjenayah yang dipercayai lebih daripada seorang," katanya semasa ditemui di rumahnya, di sini. Mohd. Zaidi berkata sebaik dimaklumkan, beliau terus pulang ke rumah dan mendapati sebuah peti besi mengandungi barang kemas milik isterinya, tiga jongkong emas seberat 750 gram, tiga komputer riba, geran tanah dan pelbagai dokumen serta sebuah motosikal jenis Honda telah hilang.
"Selepas memeriksa saya dapati mereka (penjenayah) telah melarikan peti besi tersebut yang berada dalam bilik utama yang mengandungi pelbagai barang berharga dan sebuah motosikal milik anak saya, kesemuanya bernilai lebih RM100,000 lesap," katanya.
Mohd. Zaidi berkata penjenayah telah meninggalkan kesan tapak kaki dalam rumah dan sepasang kasut di luar rumah. Beliau dan isteri Santanina Salleh, 41 berharap polis dapat mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu kerana pelbagai barangan yang hilang itu sangat berharga.
"Saya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan sangat berharap mereka yang memecah masuk ke rumah kami dapat ditangkap secepat mungkin," katanya. Sementara itu, jurucakap polis di sini ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan.- Bernama
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.