Friday, January 18, 2013

Azmin Ali : Keputusan Majlis Syura Ulama Untuk PAS Sahaja,Tidak Terikat Dengan Polisi Bersama Pakatan Rakyat


PETALING JAYA - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pihaknya berpegang pada pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 8 Januari lalu yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu.

 Azmin juga menegaskan, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) telah sebulat suara menerima pendirian Abdul Hadi yang membenarkan semua agama menggunakan kalimah suci itu tanpa menterjemahkannya ke bahasa lain dan tidak boleh disalahgunakan.

 "Pendirian ini tuntas dengan pendirian Pas pada 2010, tidak berganjak walaupun perkara ini dibincangkan semula oleh kerana beberapa kenyataan, tetapi pendirian Pas dan PR tidak berubah. "Kita tidak boleh tukar pendirian setiap hari," kata beliau kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini hari ini.

 Azmin juga menjelaskan keputusan itu dicapai berdasarkan persetujuan bersama secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR pada 8 Januari lalu dalam banyak perkara dengan mengambil kira kepentingan bersama.

 "Oleh kerana kita terikat dengan dasar-dasar yang telah dipersetujui secara kolektif dalam majlis presiden PR, maka kita berpegang kepada keputusan itu," katanya.

 Mengulas lanjut keputusan Majlis Syura yang bertentangan dengan pendirian Presiden Pas itu, Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor menegaskan, ia hanya sebahagian daripada struktur organisasi parti itu yang tidak terikat dengan polisi bersama PR.

 "Majlis Syura terikat dengan ahli-ahli Pas, tetapi kita Keadilan (PKR), DAP dan Pas, kita terikat dengan dasar bersama yang telah dipertimbang, dibincang, dilulus dan disahkan dalam Majlis Presiden PR," jelasnya.

 Bagaimanapun Azmin tidak menolak pandangan yang dilontarkan Majlis Syura sebagai menghormati hak berdemokrasi dan hak bersuara mana-mana pihak. "Pandangan Majlis Syura harus kita hormati, kita tak boleh halang orang daripada bercakap," katanya.

 Ahad lalu, mesyuarat Majlis Syura Pas memutuskan supaya kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi nahasa Melayu selepas isu berkenaan dibantah pelbagai pihak. Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan perkataan 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna, tidak menepati kehendak sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.

Komentar KP : KP sebenarnya tertanya kenapa wujud perbezaan antara keputusan bersama PR dan Majlis Syura Ulama PAS berkenaan isu kalimah Allah?? Bukankah Majlis Syura Ulama itu antara badan tertinggi di dalam PAS,kenapakah PR tidak akur dengan keputusan tersebut ??Azmin Ali begitu angkuh dengan mengetepikan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang sepatutnya mereka jadikan rujukan berkenaan isu agama Islam di dalam PR,tetapi Azmin Ali tetap bertegas dengan keputusan bersama Presiden PAS dan,Ketua UMUM PKR dan Pengerusi DAP sebelum itu yang berikan kebenaran untuk bukan Islam gunakan kalimah Allah. Beginilah rupanya pakatan di dalam PR .

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.