TELOK KEMANG 24 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin dekat dan yakin Barisan Nasional (BN) akan terus memegang tampuk pemerintahan negara.
Katanya, keyakinan itu berasaskan kepada sokongan rakyat yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. ''Saya rasa-rasalah dan bila sudah ada rasa tu, bunyinya sudah dekatlah tu (pilihan raya umum)," katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan 70 unit rumah mampu milik berkualiti tinggi di Taman Intan Duyung, Port Dickson, dekat sini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Penyelaras BN Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta beberapa menteri Kabinet dan pemimpin parti komponen BN. Perdana Menteri berkata, kerajaan BN sebagai kerajaan yang terbaik untuk rakyat, tidak akan menabur pelbagai janji yang tidak mampu ditunaikan seperti yang dilakukan pembangkang. Najib berkata, tanpa perlu menabur janji-janji, kerajaan BN tetap akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.
"Pembangkang ini senjata pada tangannya adalah jual janji, tapi apabila kita timbang punya timbang, janji itu mustahil untuk dilaksanakan," katanya Perdana Menteri juga berkata pelbagai janji pembangkang sekiranya dilaksanakan juga akan menyebabkan negara muflis dan menjadi lebih teruk daripada apa yang berlaku di negara Greece sekali gus menyebabkan rakyat hilang keyakinan.
Mengenai keinginan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadi Perdana Menteri, Najib berkata, ketua pembangkang itu itu tidak layak kerana ramai pengikutnya sudah mula meninggalkannya selepas hilang keyakinan.
Beliau berkata, pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr. Chandra Muzaffar yang sudah meninggalkan Anwar pernah menyatakan bahawa jika Anwar menjadi Perdana Menteri, satu malapetaka besar akan berlaku kepada negara.
"Kalau kita pasang billboard dan letak gambar orang yang sudah meninggalkan dia (Anwar), saya rasa kena guna billboard yang besar kerana ramai sudah meninggalkan dia dari Chandra Muzaffar, bekas setiausaha politiknya, Ezam Mohd. Nor, bekas setiausaha sulit Anuar Shaari dan peguam dia Zulkifli Nordin," katanya.
Najib kemudiannya menghadiri jamuan makan tengah hari bersama lebih 30,000 penduduk dan anggota tentera. -Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.