Thursday, January 17, 2013

Penyokong Ramasamy Berang Dengan Keputusan Pemilihan CEC DAP


BUTTERWORTH 16 Jan. - Lebih 50 orang yang terdiri daripada masyarakat India dari Taman Supreme, Perai di sini mengadakan demonstrasi aman bagi membantah keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Disember lalu yang disifatkan sebagai tidak telus. 

Wakil kumpulan tersebut, M. Mathigalagan berkata, kekalahan calon bukan kaum Cina pada pemilihan tersebut jelas menunjukkan parti itu mengamalkan kuasa mutlak pemimpin tertinggi dan mengutamakan kroni mereka.

 "Selama ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng selalu mengatakan DAP mendukung prinsip demokrasi dalam setiap perkara namun sekarang kita melihat mereka hanya melantik kroni untuk jawatan tertinggi dalam parti.

 "Sebab itu kita minta mereka mengadakan semula pemilihan CEC bagi memastikan keputusan pemilihan kali ini lebih telus dan tidak berat sebelah," katanya kepada pemberita ketika menyertai demonstrasi tersebut.

 Dalam demonstrasi itu, mereka turut membawa sepanduk mempertikaikan kekalahan Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy semasa pemilihan berkenaan. Menurut Mathigalagan, jika pemilihan CEC diadakan semula, mereka mahu pengiraan undi menggunakan juru audit bebas yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan.

 Tambahnya, satu memorandum berhubung perkara itu akan diserahkan kepada Guan Eng dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda bantahan terhadap apa yang berlaku. "Jika DAP tidak mahu mengadakan pemilihan semula, mereka jangan mengaku sebagai parti demokrasi tetapi sebenarnya parti kuku besi dan perkauman," ujarnya.

 Pada 14 Januari lalu, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass Aseerpatham meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjalankan siasatan terhadap keputusan pemilihan CEC itu. 

Menurut David yang sudah tujuh tahun menjadi ahli seumur hidup DAP, beliau tidak dapat menerima alasan kesalahan teknikal menjadi faktor kepada kesilapan pengiraan undi. Aduan sama turut dibuat oleh Setiausaha DAP Cawangan Ladang Paroi, Mahendran Krishnan. Beliau yang menjadi ahli seumur hidup DAP sejak 1995 mahu ROS mengambil tindakan untuk menyokong amalan demokrasi dalam pemilihan parti.

 Sementara itu, ahli DAP daripada lebih 10 cawangan di Selangor antaranya Taman Ehsan, Taman Gembira, Southern Klang, Raya Barat, Taman Chi Liung Indah dan Damansara turut menggesa pemilihan CEC diadakan semula. Dalam sidang akhbar tergempar 9 Januari lalu, Pengerusi DAP Taman Chi Liung Indah, K. Yogasigamany berkata, pemilihan semula itu sangat penting untuk membersihkan nama parti yang tercalar akibat kesilapan 'teknikal' seperti yang didakwa.

 "Pemilihan semula akan mencerminkan ketelusan serta integriti parti kepada umum yang rata-rata kini sudah mula hilang keyakinan terhadap parti ini," katanya. 

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.