KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pemimpin PAS didakwa bersetuju dengan gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam akibat dipengaruhi golongan Anwarinas dalam PAS.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, sokongan itu bercanggah dengan pendirian pemimpin tertinggi parti itu seperti Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan kalimah Allah hanya untuk orang Islam.
“Timbalan Murshidul Am PAS, Datuk Prof. Harun Din juga pernah menegaskan orang Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam telah melakukan perbuatan syirik dan kufur.
“Sukar bagi kita menggambarkan bagaimana bercelarunya ahli dan penyokong PAS. Jelas pengaruh Anwarinas atau parasit begitu hebat kerana apa sahaja permintaan DAP seperti kalimah Allah diraikan sedemikian rupa,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Hasan juga berkata, pimpinan tertinggi PAS yang dikuasai golongan parasit itu dilihat sentiasa bersedia memberi laluan kepada sebarang tuntutan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk perkara yang melibatkan aqidah.
Kata beliau, situasi itu merupakan satu pendekatan akomodatif golongan Anwarinas yang bermotifkan politik demi meraih keuntungan politik.
Bagaimanapun, katanya, ahli dan penyokong PAS sudah lama menyedari hakikat bahawa penguasaan Anwarinas dalam PAS telah membawa satu budaya baru dalam parti itu. “Kini penghormatan yang diberi kepada golongan ulama PAS dicemari kesan budaya baru ini,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.