Wednesday, January 2, 2013

Perutusan Guan Eng beri harapan palsu kepada rakyat PP




Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mempersoalkan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilihat memberi harapan palsu kepada rakyat di negeri itu melalui perutusannya sempena Tahun Baru 2013.

Tunku Aziz berkata beliau tidak yakin Guan Eng akan mengotakan janjinya untuk membasmi kemiskinan dan membanteras rasuah di negeri itu lantaran rekod kepimpinan Setiausaha Agung DAP itu sejak 2008, tidak begitu membanggakan.

"Semua orang cakap mereka akan buat tetapi mungkin tidak menjadi kenyataan, saya ingin bertanya kepada dia (Lim Guan Eng), apa yang sudah dilakukannya untuk tempoh empat hingga lima tahun dia menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang?

"Adakah kamu benar-benar mahu mengurangkan rasuah di negeri kamu sendiri? Adakah kamu benar-benar mahu menurunkan kadar kemiskinan di negeri Pulau Pinang?," katanya kepada AntaraPos ketika dihubungi tadi.

Guan Eng dalam perutusan ucapannya tahun baru 2013 memasang impian untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan kadar gelaja rasuah di negeri itu.

"Pada 2013 ini, tidak ada lagi rakyat di negeri Pulau Pinang tergolong dalam warga ekonomi kelas ketiga," ujar Guan Eng.

Malah kata Guan Eng, beliau mahu memperkenalkan pentadbiran yang cekap, kebertanggungjawaban dan telus sekaligus dapat mengurangkan ketidaksamaan pendapatan di kalangan rakyat.

Bagaimanapun tindakan Guan Eng itu disifatkan Tunku Aziz sebagai 'indah khabar dari rupa'. Ini ekoran berdasarkan pemerhatiannya, banyak agenda Ketua Menteri itu yang ditaburkan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008 dilihat gagal dilaksanakan dengan sempurna.

"Saya tidak berapa pasti apa yang dia (Lim Guan Eng) cakapkan sebenarnya kerana adalah mudah untuk dia bercakap mengenai ini tetapi apakah buktinya? 

Di manakah buktinya tambahan sudah hampir empat hingga lima tahun dia menjadi Ketua Menteri di sini.

"Apa yang ingin kita mahukan daripada dia ialah keputusan atau pencapaian yang konkrit dan tidaklah dilihat seperti siapa-siapa pun boleh bercakap mengenai perkara itu atau memberi janji itu dan ini.

"Sebagaimana yang kamu tahu sebelum ini pun macam kerajaan Pulau Pinang katakan untuk membina rumah kos rendah, mahu membantu rakyat miskin, membantu orang Melayu, semuanya dilihat macam tiada ada-apa," katanya.

Guan Eng juga berjanji untuk membina 18,000 unit rumah mampu milik pada 2013. Namun janji itu sekali lagi dipertikai Tunku Aziz kerana pada hematnya, rumah yang mahu dibina kerajaan negeri masih tidak mampu dimiliki rakyat marhaen.

"Cuba dia Lim Guan Eng tunjukkan bukti pada rakyat apa yang dia dah buat? contoh isu rumah, ini semua adalah luar dari batasan kemampuan orang di Pulau Pinang untuk membeli memandangkan rumah yang ada pun dilihat yang mampu membelinya adalah golongan jutawan.

"Jadi bagaimana mereka hendak buat 18,000 ribu unit rumah lagi, jadi mari kita lihat sejauh mana apa  yang dia mahu buat lagi setakat ini?," katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.