Saturday, March 23, 2013

Gelombang Menolak DAP Sudah Bermula ,Belia Cina Dan India Berdemo Di P.Pinang #rempuh243


Kira-kira 300 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang majoritinya belia Cina dan India berarak sejauh satu kilometer dari Jalan Macalister menuju Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, bagi menyerahkan memorandum membantah pembinaan terowong dasar laut oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

 Kesemua mereka mewakili tiga NGO iaitu Pergerakan Hak Belia Malaysia (PHBM), 1Malaysia Brothers (1MB) dan Pertubuhan Belia Komuniti Pulau Pinang (PBKPP). Mereka yang berarak dengan memakai baju berwarna biru muda turut membawa pelbagai sepanduk mengecam kegagalan kerajaan negeri mengotakan janji-janji dalam pilihan raya umum lalu.

 Walau bagaimanapun, tiada sebarang kekecohan berlaku memandangkan anggota polis telah bersedia dari awal untuk mengawal keadaan di sekitar Komtar. Presiden Pergerakan Hak Belia Malaysia, Shen Yee Aun berkata, bantahan terhadap pembinaan terowong bernilai RM6.3 bilion itu dibuat memandangkan pihaknya beranggapan projek mega berkenaan hanya merugikan duit rakyat semata-mata.

 Tegasnya, banyak NGO lain dan rakyat negeri itu membantah projek berkenaan kerana dilihat boleh mengundang kesesakan lalu lintas lebih teruk terutama di bahagian pulau. "Kami rakyat Pulau Pinang tidak memerlukan penghubung ketiga antara pulau dan tanah besar. Cukup dengan dua jambatan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil Pejabat Ketua Menteri di pekarangan Komtar, di sini hari ini.

 Yee Aun berkata, memorandum yang dihantar itu turut mengandungi sembilan tuntutan lain yang perlu diperjelaskan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP. Antara perkara itu, katanya, penjelasan mengenai janji-janji palsu yang gagal ditunaikan DAP sepanjang lima tahun mentadbir Pulau Pinang dan kegagalan kerajaan negeri membina rumah mampu milik untuk rakyat negeri ini.

 "Selain itu kami juga mahu penjelasan mengenai manifesto yang dibuat DAP, pendirian berbeza Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kilang Lynas di Kuantan, Pahang dan penjelasan mengenai lokasi untuk kaum Cina dan India di dalam manifesto, bajet dan Buku Jingga pembangkang.

"Kita juga mendesak Guan Eng menjelaskan kenyataan bercanggahnya yang mahu menghapuskan tol tetapi mahu membina terowong bertol, pendirian DAP terhadap calon Perdana Menteri pembangkang dan internet percuma yang gagal diakses rakyat Pulau Pinang," katanya.

 Beliau dalam pada itu menegaskan, sekiranya Guan Eng gagal menjelaskan semua tuntutan berkenaan dalam masa seminggu bermula hari ini, pihaknya akan mengambil tindakan susulan.

 "Kami mahu Guan Eng berfikir, sekiranya tidak mahu menjawab segala tuntutan kami, apakah beliau sudah tidak memerlukan undi kami dalam pilihan raya umum akan datang?

 "Kami juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Guan Eng seperti bangkitnya rakyat Selangor mengheret Menteri Besar mereka ke mahkamah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.